
SEBUAH platform eksklusif untuk meraikan dunia fesyen lelaki tanah air akhirnya direalisasikan.
Buat julung kalinya, The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week (TKLMFW) 2025 membuka tirainya dengan satu acara yang tidak hanya menampilkan koleksi pereka tempatan dan antarabangsa, tetapi menjadi suara kepada gaya serta identiti lelaki moden masa kini.
Majoriti berkesempatan menemubual figura utama di sebalik inisiatif itu, YBM Adjunct Prof. Dato’ Sri Raja Rezza Shah, individu berpengaruh yang juga pengasas Islamic Fashion Festival (IFF).
Ia bagi menyelami aspirasi di sebalik penganjuran TKLMFW dan hala tuju jangka panjang acara itu dalam memperkasa fesyen maskulin Malaysia di mata dunia.
"Saya perhatikan di Malaysia, kita masih belum ada platform khusus yang memberi tumpuan penuh kepada fesyen lelaki.
"Jadi, saya rasa sudah tiba masanya," kata Rezza kepada Majoriti dengan penuh keyakinan.
Menurut Rezza, TKLMFW memberi ruang inklusif kepada semua sama ada pereka khusus pakaian lelaki mahupun wanita. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Menurut beliau, kejayaan IFF yang telah menembusi lebih 23 kota di seluruh dunia menjadi pembakar semangat untuk membuka ruang baharu buat pereka lelaki dan koleksi menswear, yang sebelum ini kurang mendapat pendedahan berbanding arus fesyen wanita.
TKLMFW muncul sebagai pelengkap kepada kekosongan itu.
"Bila ada platform, maka akan ada 'takers'. Bila ada gelanggang, lebih ramai berani ke depan tunjuk bakat," tambahnya.
Menurut Rezza, TKLMFW memberi ruang yang inklusif kepada semua sama ada pereka khusus kepada pakaian lelaki mahupun wanita yang mahu mencuba koleksi menswear.
Ia juga menyuntik semangat kepada pemain industri, termasuk model lelaki, penata gaya dan jurugambar untuk terlibat sama dalam satu medan profesional.
Rezza mengakui bahawa gaya maskulin hari ini makin bereksperimen dengan tidak lagi terikat kepada warna gelap dan potongan konservatif. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Lelaki moden dan evolusi gaya
Membandingkan zaman dahulu dan sekarang, Rezza mengimbau transformasi gaya lelaki dari era 60-an yang serba kemas dan formal, kepada gaya lebih santai selepas era 70-an.
"Lelaki hari ini ada kebebasan penuh dalam bergaya.
"Fesyen kini sangat personal, bukan sekadar ikut trend, tapi ikut keselesaan dan identiti sendiri," jelas beliau.
Beliau juga mengakui bahawa gaya maskulin hari ini makin bereksperimen dengan tidak lagi terikat kepada warna gelap dan potongan konservatif.
Malah beliau akui fesyen lelaki kini terbuka kepada kain bercorak terang, material lembut seperti chiffon dan lace, atau siluet yang lebih androgini.
Rezza akui fesyen lelaki kini terbuka kepada kain bercorak terang, material lembut seperti chiffon dan lace, atau siluet yang lebih androgini. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Walaupun menyambut baik keterbukaan dalam gaya, Rezza turut berkongsi cabaran menganjurkan acara seperti TKLMFW yang cuba menyeimbangkan ekspresi kreatif dengan nilai budaya tempatan.
"Cabaran paling besar adalah menentukan sempadan bagaimana kita boleh rayakan fesyen lelaki tanpa hilang unsur maskulinnya.
"Tetapi dalam masa yang sama, kita juga tak boleh terlalu rigid,” ujarnya.
Dalam pengalaman beliau sebelum ini menerusi IFF, hal aurat dan sensitiviti budaya juga sering menjadi cabaran.
Namun beliau percaya, ruang eksperimentasi dan peringkat adaptasi perlu diberi agar lebih ramai berani mencuba dan berkembang.
Tidak sekadar penganjuran sulung, Rezza meletakkan harapan besar agar TKLMFW dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang dinantikan industri.
"Saya memang mahu jadikan ini annual event. Kalau IFF boleh pergi ke 23 kota, tak mustahil untuk TKLMFW juga ke arah itu.
"Tapi saya kena cari genre unik untuk Malaysia dahulu,”* katanya.
Menyedari setiap negara punya 'fashion week' sendiri, beliau berazam untuk meletakkan TKLMFW sebagai satu acara yang bukan sahaja meraikan fesyen lelaki, tetapi juga mengetengahkan budaya dan identiti unik Malaysia di persada dunia.
Dengan sambutan yang menggalakkan dan visi yang jelas, TKLMFW 2025 bukan sekadar satu acara fesyen.
Ia merupakan pernyataan kolektif bahawa lelaki Malaysia kini bersedia untuk berdiri sama tinggi di pentas gaya dengan identiti, keberanian dan rasa bangga terhadap siapa mereka.
Seperti kata Rezza, "Ini bukan sekadar tentang baju, ini tentang siapa kita, dan bagaimana kita ingin dilihat." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram