
DALAM dunia hospitaliti moden yang semakin mencabar, jenama yang mampu menyeimbangkan gaya, jiwa tempatan dan teknologi masa kini pastinya akan menonjol.
M Social Resort Penang, hartanah ketujuh di bawah jenama global M Social melangkah masuk ke pasaran tempatan dengan pendekatan berani, kreatif dan berjiwa Penang.
Ia sekali gus menjadikannya bukan sekadar sebuah tempat penginapan, tetapi destinasi gaya hidup yang membina hubungan antara warisan dan inovasi.
Bercakap kepada Majoriti, Pengurus Besar M Social Resort Penang, Jasmine Keh, berkongsi rekaan dan falsafah di sebalik resort itu.
Dari lobi penuh karakter sehinggalah ke kolam renang yang menangkap ruang sosial.
Penang sebagai inspirasi, bukan sekadar lokasi
"Konsep kami meraikan personaliti Penang yang berani, kreatif dan kaya budaya.
"Kami banyak terinspirasi daripada rumah-rumah kedai Peranakan di George Town tidak kira dari jubin geometri, warna-warna terang, sehinggalah kepada motif warisan," kata Jasmine kepada Majoriti.
Tambah beliau, elemen-elemen tradisional itu, kemudian digabungkan dengan teknologi pintar dan bentuk kontemporari untuk membentuk identiti resort bukan sahaja bergaya, tetapi juga hidup menyenangkan.
Mural di lobi dihasilkan oleh artis yang sama bertanggungjawab untuk karya ikonik di M Social Resort Phuket.
Lobi menceritakan cerita
Masuk sahaja ke ruang lobi, tetamu sudah dapat merasai jiwa M Social daripada tekstur, warna berani dan seni visual membentuk pengalaman sensori yang lengkap.
"Lobi ini bukan sekadar tempat daftar masuk. Ia adalah bab pertama dalam cerita kami.
"Kami mahu tetamu rasa dialu-alukan, tertarik dan ingin tahu," jelasnya.
Menariknya, mural di lobi dihasilkan oleh artis yang sama bertanggungjawab untuk karya ikonik di M Social Resort Phuket menjadikan ia simbol hubungan kreatif antara destinasi budaya dalam keluarga M Social.
Setiap satu bilik direka untuk mencerminkan keunikan tersendiri.
Bilik personaliti sendiri
Sebanyak 318 bilik dan suite ditawarkan, setiap satu direka untuk mencerminkan keunikan tersendiri, dengan pilihan pemandangan pantai atau pesisir.
"Kami gunakan elemen Peranakan seperti jubin warisan, corak bunga dan palet warna yang kaya.
"Tapi, pada masa sama, bilik itu dilengkapi teknologi moden seperti pembantu suara AI dalam bilik dan TV pintar.
"Ia adalah gabungan nostalgia dan kemudahan," jelas Jasmine
Ruang makan utama memaksimumkan pemandangan laut.
Ruang makan, lautan dan warna bersatu
Ruang makan utama, Beast & Butterflies, mencerminkan pendekatan berani M Social dengan hiasan pencahayaan artistik, jubin bercorak dan susun atur memaksimumkan pemandangan laut.
"Setiap hidangan di sini adalah pengalaman visual dan rasa.
"Kami mahu tetamu rasa seperti makan dalam karya seni yang terbuka ke arah laut," ujar beliau.
Seluruh resort adalah penghormatan kepada motif seni bina Peranakan hingga flora dan fauna tempatan.
Warisan tempatan di setiap sudut
Menurut Jasmine, seluruh resort adalah penghormatan kepada jiwa Penang.
Dari motif seni bina Peranakan hingga flora dan fauna tempatan yang terpamer dalam mural semuanya mengangkat budaya, makanan serta alam Malaysia.
"Kami ada mural dengan imej nasi lemak, monyet ‘dusky leaf’, bunga raya, malah ikon seperti Tokong Kek Lok Si," ujar beliau penuh semangat.
'Sunset Bay' dicipta untuk menjadi pentas sosial.
Kolam renang ruang pusat sosial
Kolam renang yang dinamakan 'Sunset Bay' bukan sekadar tempat berenang.
Ia dicipta untuk menjadi pentas sosial sesuai untuk BBQ, acara privasi dan tentunya, mengambil gambar ketika matahari terbenam.
"Kolam ini meniru kehangatan senja Penang. Ia boleh ditempah untuk majlis peribadi dan kami sediakan muzik untuk menambah suasana magis," katanya.
Tangga spiral adalah metafora kepada semangat M Social ekspresif, berani dan mengalir.
Identiti ikonik M Social Resort
Salah satu ciri paling menonjol di resort ini adalah tangga spiral di The Social Hub, yang kini menjadi titik tumpuan visual dan latar bergambar wajib buat tetamu.
"Tangga itu adalah metafora kepada semangat M Social ekspresif, berani dan mengalir.
"Tapi kami juga bangga dengan mural kami yang menghubungkan M Social Penang dan Phuket satu visual naratif yang bersambung," jelas Jasmine.
Menariknya, Jasmine turut menekankan bahawa resort itu dibina dengan kesedaran ekologi.
Dari sistem air minum boleh isi semula di setiap tingkat, penyedut minuman berasaskan beras, hinggalah pengurangan plastik sekali guna setiap langkah kecil membentuk impak besar.
Pengurus Besar M Social Resort Penang, Jasmine Keh, berkongsi falsafah rekaan di sebalik resort baharu.
Sebagai penutup, Jasmine menegaskan bahawa walaupun M Social Resort Penang membawa citarasa tempatan, ia kekal sebahagian daripada keluarga global M Social yang merangkumi Paris, New York dan Auckland.
"Setiap M Social bawa cerita berbeza. Tapi kami semua kongsi semangat sama iaitu inovasi, komuniti, dan keunikan.
"Di Penang, kami raikan semua itu dengan cita rasa tempatan yang tiada duanya." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram