
DALAM rumah tangga, cinta yang sebenar tidak diukur melalui ego, tetapi kesanggupan untuk saling memahami dan mengalah.
Itulah ditunjukkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama apabila beliau secara terbuka mengakui bahawa kerap memohon maaf terlebih dahulu setiap kali berlaku pertengkaran dengan isterinya, Michelle Obama.
Pendedahan itu dibuat dalam satu episod audio siar, IMO Podcast yang mengupas 14 soalan berkaitan kehidupan suami isteri antara pasangan ternama itu.
"Saya minta maaf dulu," kata Obama ringkas, namun memberikan gambaran jelas tentang bagaimana beliau memilih untuk meredakan keadaan berbanding mempertahankan ego.
BACA LAGI: Sambil gendong bayi, ibu nekad lompat keluar tingkap dari aras dua rumah, terkilan 2 anak rentung
Antara jawapan lain turut menarik perhatian, Obama mendedahkan bahawa beliau sering bangun pagi dalam keadaan kurang menyenangkan atau grumpy, manakala Michelle pula lebih sabar dan tenang menghadapi rutin pagi.
Walaupun dikenali sebagai figura berkarisma dan pemidato hebat, Obama tidak segan menunjukkan sisi rentan dirinya termasuk mengaku sebagai individu lebih manja apabila sakit.
Michelle pula mengakui dirinya lebih degil, mengambil masa lebih lama untuk bersiap, namun lebih kelakar dalam hubungan mereka.
Beliau juga disifatkan oleh suaminya sebagai tukang masak yang handal.
Menariknya, apabila dipersoal mengenai individu yang terlebih dahulu mengungkapkan kata cinta, kedua-duanya beranggapan sering mengucapkan kata, i love you.
Jawapan berkenaan mencerminkan keserasian hubungan mereka yang telah terbina sejak lebih tiga dekad lalu.
Beberapa soalan lain seperti siapa lebih sosial, siapa lebih berselerak dan siapa lebih rajin bersenam, menerima jawapan yang sama iaitu kedua-duanya berkongsi tanggungjawab dan tabiat tersebut secara seimbang.
Menerusi sesi itu, pasangan ini sekali lagi membuktikan bahawa hubungan yang sihat bukan dibina atas kesempurnaan, tetapi atas kesediaan untuk saling memahami, bertolak ansur dan mengalah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram