
SALAH seorang pengasas fesyen jenama Rizman Ruzaini, Ruzaini Jamil mendedahkan beliau merupakan individu yang mengalami disleksia sejak kecil, namun menjadikan seni sebagai kekuatan utama untuk terus maju dalam hidup.
Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, lelaki berusia 41 tahun tersebut berkongsi perjalanan awal hidupnya yang dianggap penuh dengan cabaran pembelajaran.
“Saya berbeza dari kawan-kawan sejak berada di sekolah rendah, walaupun waktu itu saya belum sepenuhnya faham apa itu disleksia.
"Yang saya tahu, saya sering keliru dengan susunan huruf, nombor, bacaan jawi dan saya sangat ketinggalan dalam pelajaran,” tulis pemilik nama Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil itu.
BACA LAGI: Di saat banyak jenama hijab berjuang untuk ‘survive’, Buttonscarves terus agresif meluaskan pasaran
Menurutnya, beliau mengikuti kelas peralihan dari darjah satu sehingga darjah tiga dan pernah berasa tersisih kerana kelemahan dalam akademik.
Namun, minat mendalam terhadap seni menjadi titik tolak keyakinannya untuk terus belajar.
“Saya sangat suka melukis dan mewarna. Buku sekolah saya penuh dengan lukisan dan rekaan fesyen hingga pernah saya mencipta katalog stail pakaian yang lengkap untuk mak, adik perempuan, mak saudara dan sepupu-sepupu,” katanya sambil menambah bahawa merekalah 'pelanggan' pertamanya.
Ruzaini mengakui prestasi akademiknya mula meningkat selepas mendapat bantuan guru tuisyen Ketika darjah empat dan ahli keluarga dalam subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Meskipun keputusan UPSR hampir gagal, Ruzaini berjaya meneruskan pelajaran ke sekolah menengah dan mula cemerlang dalam subjek seperti Pendidikan Seni, Sejarah dan Geografi.
“Saya ingin sangat sambung ke Sekolah Vokasional dalam bidang fesyen selepas PMR, tetapi tidak berjaya. Namun saya tak putus asa,” katanya.
Sebaliknya, beliau terpilih ke jurusan vokasional dalam bidang binaan bangunan sambil mengikuti aliran sastera di sekolah menengah biasa.
Subjek seperti Pendidikan Seni, Sastera Melayu dan Tasawwur Islam menjadi pilihan utama.
“Paling sedih ujian subjek Ekonomi saya hanya memperoleh 18 daripada 100 markah. Pilihan yang saya buat tepat. Saya akhirnya lulus kepujian SPM dengan keputusan yang membanggakan dan saya yakin subjek vokasional membantu saya capai keputusan itu,” katanya.
Beliau turut memohon hampir 100 tempat ke IPTA, IPTS dan kerja. Akhirnya, beliau ditawarkan ke UiTM Seri Iskandar dalam bidang Seni dan Reka Bentuk.
“Ada juga tawaran lain dalam bidang Perundangan Islam dan Syariah, tetapi saya menolak, kerana saya tahu, seni adalah jiwa saya, Inilah dunia saya sejak kecil dan inilah dunia yang saya ingin teroka,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram