
FESYEN bukan sekadar tentang pakaian cantik di pentas peragaan.
Di sebaliknya, ada kisah minat yang dipupuk sejak kecil, cabaran demi cabaran yang ditempuh serta inspirasi daripada nama-nama besar yang mencorakkan identiti kreatif seseorang.
Bagi lima graduan jurusan fesyen dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), keputusan menceburi bidang ini bukan sekadar pilihan akademik, malah ia lahir daripada minat mendalam dan impian besar yang ingin diterjemahkan melalui rekaan serta usaha tanpa henti.
Durrani Zul Zaidi berkata minatnya bermula daripada keterujaan melihat individu berpakaian menarik.
BACA LAGI: Penulis novel Hunchback wanita OKU, raih gelaran 'Akutagawa' dari anugerah sastera tertua dunia
Durrani mengakui teruja melihat individu berpakaian menarik.
“Saya suka melihat orang memakai pakaian yang cantik dan melihat mereka seronok untuk bergaya. Kadang-kadang, saya merasa ingin menjadi seperti mereka, yang merupakan pencipta kepada gaya sendiri,” kata lelaki berusia 24 tahun itu kepada Majoriti.
Mengulas mengenai figura yang beliau kagumi, anak kelahiran Negeri Sembilan tersebut mengidolakan Karl Lagerfeld dan Alexander McQueen sebagai pereka antarabangsa, manakala Datuk Rizalman Ibrahim, Rizman Ruzaini dan Bernard Chandran pula menjadi rujukan tempatan yang banyak mempengaruhi gayanya.
“Saya telah belajar banyak semasa latihan di Rizman Ruzaini. Insya-ALLAH, saya akan menjadi seperti mereka,” tambahnya.
Sementara itu, graduan berusia 23 tahun, Juwita Rahmat memilih bidang fesyen selepas menyedari bahawa minat terhadap seni lebih dekat di hati berbanding cita-cita asalnya untuk menjadi doktor.
"Saya nak jadi doktor, tetapi saya rasa itu bukan pilihan yang betul sebab saya dari kecil memang minat dunia seni. Saya selalu menang pertandingan mewarna, mungkin itu adalah pilihan bagus untuk saya belajar seni lebih mendalam," ujarnya yang berasal dari Johor.
Menyentuh tentang cabaran dalam bidang ini, Juwita berkata sebagai pereka, seseorang perlu sentiasa tampil dengan idea baharu yang segar dan unik.
“Sebab apa yang kami buat, pasti akan ada orang buat. Jadi, kami perlu cipta koleksi atau idea fesyen yang baharu dan mampu buat orang rasa kagum dan mahu beli baju kami,” jelasnya.
Walaupun tidak memiliki satu sosok khusus yang diidolakan, namun Juwita berkongsi ikon sama seperti Durrani yang mana beliau menjadikan Rizman Ruzaini dan Alexander McQueen sebagai sumber inspirasinya.
Katanya, kekuatan konsep dan identiti dalam setiap koleksi pereka legenda itu memberikan inspirasi yang mendalam.
Manakala bagi Nurrabiatul Adawiah Haleme pula, beliau terinspirasi untuk mengambil jurusan fesyen kerana minat terhadap lukisan yang sudah dipupuk sejak kecil.
“Semuanya bermula kerana saya suka menulis. Pada mulanya saya nak belajar seni, tapi akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyambung fesyen," kongsinya yang berasal dari Johor.
Berkongsi lanjut, gadis berusia 23 tahun berkenaan mengakui pengurusan masa adalah cabaran paling besar sebagai pelajar fesyen.
Nurrabiatul terinspirasi untuk mengambil jurusan fesyen kerana minat terhadap lukisan yang sudah dipupuk sejak kecil.
“Koleksi saya ada banyak kerja tangan, perincian manik dan sebagainya. Ia mengambil masa yang lama,” katanya.
Berbeza dengan Durrani dan Juwita, Nurrabiatul menjadikan bekas pengarah kreatif Dior, Maria Grazia Chiuri sebagai ikon antarabangsa yang dikaguminya kerana kehalusan rekaan dan kepimpinan beliau sebagai wanita dalam jenama fesyen mewah.
Sementara itu, Husna, 26, berkata, minatnya datang daripada kegemarannya melihat pertunjukan fesyen dan tekstur fabrik sejak kecil.
“Saya suka tekstur-tekstur pada kain dan ingin mencipta sesuatu yang lain daripada yang lain,” katanya.
Menariknya, idola beliau ialah dirinya sendiri.
“Idola saya adalah diri saya sendiri. Bukan sebab saya hebat, tapi sebab saya ingin mencabar diri saya menjadi versi yang lebih baik," katanya.
Bagi Fatin Mysarah, minatnya terhadap fesyen sudah lama tertanam meskipun berasal dari aliran sains.
Apa yang mengejutkan, gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mengambil ijazah dalam fesyen tanpa pengetahuan ibu bapanya kerana bimbang tidak mendapat restu.
"Saya ambil diploma berkaitan sains, tetapi saya merasakan jiwa saya bukan dalam bidang tersebut. Saya lebih gemar dunia kreatif, jadi saya diam-diam ambil ijazah fesyen.
“Saya tidak beritahu ibu bapa saya. Lepas dapat masuk, baru saya beritahu,” ceritanya.
Menurut beliau yang berusia 23 tahun itu, cabaran terbesar baginya melibatkan proses penghiasan pada sesebuah koleksi.
“Bagi saya, cabaran terbesar ialah embellishment dari segi sumber, perincian dan proses menjahit mengambil masa yang lama dan tenaga yang banyak.
Fatin turut menyatakan minat terhadap Jennie dari Blackpink sebagai ikon gaya, selain kecintaan mendalam terhadap warna merah jambu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram