
INDUSTRI hijab di Malaysia menyaksikan pelbagai jenama mengalami fasa turun naik dalam perniagaan mereka, malah ada yang hampir 'terkubur'.
Namun berbeza dengan jenama tudung dari Indonesia, Buttonscarves yang menekankan kepentingan mendengar suara pelanggan sebagai strategi utama untuk kekal bertahan.
Menurut pengasasnya, Linda Anggrea, keperluan pelanggan menjadi asas kepada pengembangan produk mereka.
“Tanpa mendengar apa yang pelanggan mahukan, sesuatu perusahaan sukar berjaya. Setiap inovasi yang kami hasilkan datang daripada maklum balas pengguna.
"Selalu ada ruang untuk kami berkembang dalam industri ini, terutamanya di Buttonscarves,” katanya ketika ditemui Majoriti baru-baru ini.
Beliau berkata, sebagai jenama yang telah menembusi beberapa pasaran global, penting untuk mereka memahami citarasa dan budaya fesyen tempatan.
“Kami hasilkan tiga koleksi eksklusif setiap tahun khas untuk pasaran Malaysia. Koleksi ini tidak akan dijual di negara lain.
"Ia direka berdasarkan kajian pasaran di sini, termasuk pilihan fabrik dan warna,” jelasnya.
Linda turut mendedahkan bahawa Buttonscarves bakal melancarkan koleksi khas yang mengangkat motif bunga raya menjelang Ogos ini.
Menyentuh tentang DNA jenama itu yang terkenal dengan ilustrasi berasaskan teknik lukisan cat air, Linda menjelaskan bahawa pihaknya menyesuaikan gaya tersebut dengan keperluan pasaran tempatan.
“Sebelum ini saya sangka rakyat Malaysia suka warna terang. Tapi selepas kajian, kami dapati mereka sebenarnya lebih cenderung kepada warna pastel dan lembut. Itu sesuatu yang kami pelajari setelah berada di sini,” katanya.
Bagi Linda, cabaran terbesar memasuki pasaran Malaysia adalah untuk memahami budaya dan kehendak tempatan. Namun selepas beberapa kali menyesuaikan strategi, pihaknya kini lebih yakin memilih produk yang sesuai untuk ditawarkan.
“Kami belajar daripada pengalaman. Pada awalnya tidak mudah kerana andaian kami tidak tepat. Tapi kini kami lebih bersedia dan sentiasa terbuka untuk belajar dan menyesuaikan diri,” katanya.
Mengulas mengenai usaha menembusi pasaran global, Linda berpendapat bahawa fesyen patuh syariah perlu diangkat sebagai gaya yang sesuai untuk semua budaya.
“Pakaian patuh syariah bukan sekadar tentang agama. Ia adalah cara seseorang mengekspresikan diri dan berasa selesa dengan apa yang dipakai.
"Kalau kita mampu bawa cerita dan nilai itu, insya-ALLAH, modest fashion juga boleh ada ruang dalam pasaran antarabangsa,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram