Impi hasilkan naskah epik baharu, Tiara Jacquelina bangga filem tempatan semakin berkualiti


  • Hiburan
  • Sabtu, 19 Jul 2025

Kekangan masa menjadi halangan untuk Tiara menghasilkan filem epik baharu. — Instagram/@tiarajacquelina

PENERBIT dan pelakon terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina mengakui masih menyimpan impian untuk kembali menghasilkan filem berskala epik seperti Puteri Gunung Ledang (2004), namun komitmen terhadap perniagaan dan projek-projek semasa menyukarkannya untuk memberi tumpuan penuh dalam masa terdekat.

“Saya memang rindu nak buat filem. Sentiasa membara dalam diri saya... idea dan inspirasi itu sentiasa ada. 

"Ada masa saya terfikir nak buat cerita epik, atau kadang-kadang terlintas mahu cuba genre lain pula. Tapi bila fikir semula, filem bukan perkara kecil. Ia perlukan fokus, masa dan komitmen penuh sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya Ketika ditemui Majoriti baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Cinta bertukar nyawa, doa suami di sisi jenazah isteri tercinta meruntun hati warganet

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sticker pun print sendiri, cookies tak boleh telan', Aunty Ja terbang ke Bintulu bongkar penipuan Suka Dessert palsu

Puan Sri Tiara Jacquelina during the Raya in the Rain Forest at Tiarasa Escapes Glamping Resort Janda Baik, Pahang.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Bagi Tiara, industri filem tempatan kini berada di tahap yang memberangsangkan. — Arkib

Menurutnya, walaupun beliau pernah menghasilkan filem berunsur epik sebelum ini, naluri sebagai seniman sentiasa mendorongnya untuk terus berimaginasi dan menghasilkan cerita yang berbeza.

“Tak semestinya epik macam dulu. Tapi memang ada beberapa storyline yang ‘berkeliaran’ dalam kepala saya. Saya tak pernah berhenti berimaginasi,” katanya yang juga terkenal dengan pementasan muzikal berskala besar seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan Ola Bola The Musical.

Ketika ini, beliau sibuk menguruskan dua destinasi pelancongan miliknya di Tiarasa Escapes di Janda Baik, Bentong, Pahang dan Dream Forest di Langkawi, Kedah selain merancang pembukaan Tiarasa Lakeside di Gamuda Cove hujung tahun ini.

“Resort pun ambil masa dan tenaga. Nak urus dua-dua ni pun dah penuh jadual saya. Jadi, filem terpaksa tunggu,” jelasnya.

Walaupun belum bersedia untuk kembali duduk di kerusi pengarah atau penerbit dalam masa terdekat, Tiara tetap aktif menyokong perkembangan industri secara tidak langsung, antaranya dengan menonton filem tempatan di pawagam, mempromosi karya pengarah muda dan berkongsi pengalaman membawa filem ke peringkat antarabangsa.

“Saya bangga dengan industri sekarang. Kualiti filem tempatan jauh lebih baik berbanding 10 ke 20 tahun lalu. Dah tak rasa segan apabila filem Melayu ditayangkan sebelah filem Hollywood,” katanya.

Tambah beliau, industri kini berada pada landasan yang membanggakan, namun tetap ada ruang untuk penambahbaikan seperti mana-mana bidang kreatif lain.

“Saya bangga menjadi sebahagian daripada industri ini. Bila tiba masanya, mungkin saya akan kembali. Tapi buat masa sekarang, saya sokong dari tepi pentas dulu,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram