
SEORANG wanita sanggup berhijrah lebih 10,000 kilometer (km) dari Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) ke Itali demi mendapatkan suasana baharu yang lebih tenang.
Kiki Leigh mencuri tumpuan ramai apabila nekad membuat keputusan mengubah suai sebuah rumah di Itali dengan rekaan klasik ketika zaman pertengah berusia 600 tahun lalu.
Terpegun dengan pasaran hartanah di negara itu yang jauh lebih rendah berbanding LA, Kiki menyifatkan bahawa rumah bersejarah tersebut dijual dengan 'harga sebuah beg tangan'.
Kiki Leigh membuat keputusan untuk berpindah dari LA ke Itali. — Agensi
Wanita berusia 28 tahun itu membeli rumah seakan-akan pangsapuri tiga tingkat yang mempunyai 17 bilik dengan harga RM129,882 (£22,800).
Walaupun ia satu langkah berisiko, namun Kiki tetap menyahut cabaran tersebut serta nekad mengubah suainya menjadi rumah impiannya.
"Ia memang satu idea yang sedikit luar biasa. Saya selalu melihat berita tentang rumah murah, tetapi tidak pernah mengambil serius.
"Saya sudah tinggal di bandar selama bertahun-tahun, dikelilingi tekanan berterusan untuk mengejar kejayaan yang sebenarnya tidak sesuai dengan saya.
"Kehidupan di sana (LA) terasa mahal dan tidak ada jiwa. Saya selalu mengalami kehilangan dan kesakitan.
"Sejak itu, saya sedar bahawa saya tidak hidup dalam cara yang betul," katanya.
Baginya, gaya hidup yang terlalu sibuk di LA membuatkannya lebih nekad untuk berpindah.
Di LA, semuanya terasa seperti tergesa-gesa seperti, makanan segera, kepantasan dunia fesyen dan sebagainya.
Setakat itu, Kiki juga sudah membelanjakan RM240,433 (£42,185) untuk mengubah suai rumah tersebut.
Katanya, di sebalik setiap dinding memberikan kejutan baharu buatnya.
"Bagi saya, ini bukan sekadar rumah, ia adalah pengalaman, projek seni, tapak rumah untuk masa depan dan cara menjalani kehidupan dengan sedikit berbeza.
"Jadi, saya gembira dengan pelaburan ini," jelasnya.
Dengan menggunakan wang simpanannya, Kiki bercadang untuk membina spa yang dilengkapi jakuzi dan sauna serta bar untuk menghasilkan suasana 'ajaib'.
Kiki menganggarkan jumlah kosnya sekitar RM577,090 (£101,250) hingga RM673,358 (£118,140).
"Saya mahu ia berasa seperti rumah utama untuk kedamaian dan ketenangan.
"Tempat di mana saya boleh membawa semua orang yang saya sayangi bersama dan menikmati sesuatu yang istimewa dan jarang berlaku," ungkapnya.
Untuk menyuntik sedikit elemen unik, Kiki juga dalam proses membina perpustakaan sebagai penghormatan kepada pemilik terdahulu rumah itu iaitu seorang ulama dan profesor.
Demi meneruskan kehidupan, Kiki juga masih meneruskan kerjaya hakikinya sebagai pegawai perhubungan korporat dalam bidang fesyen dan merancang untuk memulakan perniagaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram