
"INI orang zaman dulu, dah terbaring pun tetap fikirkan nak bagi kau makan… Kau pula? Makcik datang rumah, kau lalu je masuk bilik terus," katanya.
Itu teguran penuh makna yang dilontarkan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidirah Abu Zahar sebagai ingatan kepada generasi muda supaya menghormati tetamu yang hadir mengunjungi rumah.
Beliau yang lebih terkenal sebagai Dira mengucapkan kata-kata itu ketika menziarahi beberapa rumah penduduk uzur di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik ke Instagram, Dira berkongsi detik-detik ketika menyantuni warga emas dan penduduk uzur yang terlantar sakit.
"Dalam setiap langkah, kalianlah sumber kekuatan, dalam setiap doa, kalianlah harapan," katanya.
Dalam satu rakaman, beliau kelihatan mendekati seorang wanita tua yang sedang terbaring, sambil memberikan kata-kata semangat dan mendoakan kesejahteraan mereka.
“Yang penting semangat kena ada, kita jumpa lagi tahun depan, insya-ALLAH,” kata beliau sebagai menyuntik semangat seorang warga emas yang kelihatan uzur namun masih menyambut kedatangannya.
Tambahnya lagi, setiap masa yang terluang dalam jadual padatnya pasti akan dimanfaatkan untuk menyantuni penduduk setempat khususnya warga emas yang memerlukan perhatian.
“Ada je masa free sikit dalam jadual, memang takkan lepaskan peluang untuk menyantuni kesayangan saya di DUN Rim. Sempat ziarah kasih di Seri Kesang dan Taman Seri Kemendor,” katanya dalam satu lagi rakaman yang turut memaparkan suasana mesra dan sambutan hangat daripada penduduk.
Beliau turut menitipkan doa agar mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan diberikan kekuatan dan ketenangan berpanjangan.
“Semoga yang kurang sihat diberi kesembuhan, ketenangan dan kekuatan berpanjangan. Terima kasih atas senyuman mesra dan sambutan penuh kasih sayang," tulisnya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram