
BEKAS isteri pempengaruh terkenal Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khalid Al Ameri, kembali mengejutkan peminat dengan berita pertunangannya.
Personaliti media sosial popular dan usahawan berjaya dari UAE, Salama Mohamed, kembali mengecapi bahagia apabila mengumumkan pertunangannya.
Dalam satu hantaran ringkas penuh makna di Instagram, Salama memuat naik gambar tangan bertatah cincin berlian yang sedang memegang tangan lelaki misteri tanpa mendedahkan identitinya.
BACA LAGI: 'Penthouse' 3 tingkat bernilai hampir RM1 bilion di New York, kediaman mewah tertinggi dunia
Namun begitu, suasana penuh cinta itu cukup membuatkan ramai teruja dan tertanya-tanya.
Hanya dengan satu gambar, dunia media sosial terus dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada rakan-rakan selebriti, peminat setia dan pempengaruh seluruh dunia.
Salama sendiri berkongsi semula kesemua mesej dan tangkap layar ucapan di InstaStory miliknya.
Khalid (kiri) dan Salama mengumumkan perceraian secara rasmi pada 14 Februari 2024.
Sejarah perkahwinan bersama Khalid Al Ameri
Salama sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga bersama pempengaruh terkenal UAE, Khalid Al Ameri.
Pasangan itu mula berkenalan pada 2006 dan melangsungkan perkahwinan pada Jun 2007.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Abdullah dan Khalifa dan sering menjadi pasangan inspirasi ramai dalam kandungan media sosial mereka.
Namun, selepas 17 tahun bersama, mereka mengumumkan perceraian secara rasmi pada 14 Februari 2024, berita cukup mengejutkan ramai peminat.
Difahamkan selepas berpisah, Khalid bertunang dengan pelakon dan model dari India, Sunaina Yella.
Dari pempengaruh ke ikon wanita inspirasi
Kini, Salama bukan sekadar dikenali sebagai bekas isteri Khalid atau pempengaruh biasa.
Beliau telah membina identiti tersendiri sebagai seorang pencipta kandungan, usahawan wanita dan pengasas jenama kecantikan yang berjaya.
Dengan lebih 14 juta pengikut di platform seperti YouTube, Instagram, TikTok dan Facebook, Salama terus mencipta kandungan yang menumpukan pada kecantikan, penjagaan kulit dan cinta diri.
Semua kandungan itu disampaikan dengan gaya humor yang ikonik.
Lebih mengagumkan, Salama juga pernah berkongsi secara terbuka tentang perjuangannya melawan kemurungan semasa melalui proses penceraian, menjadikan dirinya simbol kekuatan dan ketabahan dalam kalangan wanita.
Kini, beliau memainkan pelbagai peranan sebagai ibu, ketua pegawai eksekutif dan tokoh digital bagi terus memberi inspirasi kepada jutaan pengikut dari seluruh dunia.
Siapakah jejaka misteri itu?
Walaupun identiti tunang baharunya masih belum didedahkan, peminat tidak sabar menanti perkembangan seterusnya.
Apa yang pasti, Salama kini melangkah ke fasa baharu kehidupan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram