
SEORANG guru wanita meluahkan rasa kecewa yang mendalam apabila mendapati ada pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 14 tahun tidak mengenali nama bulan dalam setahun iaitu satu perkara asas yang sepatutnya sudah dikuasai sejak di bangku sekolah rendah.
Luahan yang dimuat naik oleh Caroline J. di laman Threads itu mendapat meraih perhatian ramai sehingga membuka perbincangan tentang sejauh mana sistem pendidikan hari ini benar-benar membentuk pelajar yang bersedia menghadapi realiti hidup.
"Saya hampir nak pengsan hari ini,” katanya.
BACA LAGI: Penapis air RO mudaratkan tubuh, pakar dedah risiko kekurangan mineral penting yang ramai tak sedar
Guru subjek Matematik itu berkata, pelajar bukan sahaja dilihat kurang membaca, malah seolah-olah hidup tanpa arah dan impian.
“Asalkan dapat makan, main dan bernafas, itu pun mereka dah rasa cukup. Bila keluar ke dunia sebenar nanti, barulah terkial-kial nak hidup. Dengan otak kosong, macam mana nak hadap cabaran hidup?” soalnya.
Tambah beliau, guru-guru di sekolah sudah berusaha sehabis baik, namun pelajar masih menunjukkan sikap tidak ambil peduli terhadap pelajaran.
"Cikgu di sekolah dah bekerja sampai habis tenaga dan masa. Bukan tak ajar pun. Tak tahu la guru lain. Tapi saya sendiri bukan jenis yang ambil ringan hal-hal ilmu murid dalam kelas," katanya.
Seorang pengguna media sosial, Blu4sky mengaitkan isu tersebut dengan penggunaan skrin secara berlebihan dan ketagihan permainan dalam talian.
“Punca? Sebab terlalu banyak screen time main permainan video dan pelajar sekarang sudah tidak lagi membaca buku. Sebab itu nama bulan pun tak tahu,” katanya.
Caroline menganggap bahawa pandangan tersebut ada benarnya.
“Ya. Tidak dinafikan, budak-budak sekarang memang jarang membaca. Sebab tu guru-guru bahasa mendapati murid-murid tidak pandai membina ayat dan tidak pandai mengolah ayat. Tiada idea dalam buat karangan,” katanya lagi.
Isu tersebut turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang mencadangkan supaya peperiksaan seperti UPSR dan PMR (kini PT3) dikembalikan.
“Itu pasal lah kena kembalikan semula peperiksaan UPSR dan PMR. Kalau tak, anak-anak tak serius dalam belajar. 13 hingga 14 tahun dah besar, dah baligh dah pun,” kata seorang pengguna, Buntal Piaw.
Pengguna lain, Najieyhaa pula berpendapat bahawa pemansuhan peperiksaan menyebabkan pelajar hilang matlamat.
“Betul. Silibus makin tinggi but IQ mereka tak boleh kejar pelajaran. Disebabkan UPSR, PT3 mansuh, dorang tak nak belajar untuk capai target dan dorang tiada usaha nak capai target dalam pelajaran,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Cymahnur turut berkongsi pengalaman sebagai guru apabila mendapati pelajar lemah dalam asas Matematik.
“Sama dengan student saya. Sampai saya pun tepuk dahi bila mengajar. Basic tambah, tolak, darab, bahagi yang simple pun tersangatlah lemah. Saya rasa macam nak rebus buku Matematik suruh diorang minum,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram