
RAMAI wanita selama ini mungkin tidak menyedari sudah mempercayai pelbagai mitos berkaitan kitaran haid.
Namun, jurulatih kesihatan, Natasya Limano tampil membetulkan tanggapan salah itu menerusi satu hantaran di laman Instagram yang mendapat perhatian.
“Saya baru sedar, kita telah diajar mitos tentang haid sejak kecil,” kata Natasya.
Beliau turut menyenaraikan lima mitos paling mengelirukan yang sering dipercayai masyarakat dan membongkar kebenaran berdasarkan fakta saintifik.
1. Tidak boleh cuci rambut
Menurut kepercayaan lama, mencuci rambut dikatakan boleh menyebabkan darah menyerbu ke kepala.
Namun, Natasya menegaskan bahawa tindakan itu sebenarnya mampu menyegarkan tubuh, terutamanya ketika badan berpeluh atau berasa tidak selesa.
2. Dilarang berenang
Ada yang percaya darah haid akan keluar dan mencemari air kolam jika seseorang berenang ketika haid.
Namun, menurut Natasya, tekanan air dalam kolam boleh memperlahankan atau menghentikan aliran darah buat sementara waktu semasa berada di dalam air.
Walaupun begitu, ia bukan penghentian sepenuhnya, justeru penggunaan tampon atau menstrual cup disarankan bagi memastikan kebersihan terjaga.
Kesimpulannya, berenang semasa haid adalah selamat sekiranya langkah kebersihan dan perlindungan yang sesuai diambil
3. Minum air sejuk boleh beku darah
Mitos kononnya mengambil minuman air sejuk boleh membekukan darah haid juga tidak berasas.
Natasya menjelaskan bahawa suhu air tidak mempengaruhi suhu di rahim seseorang kerana tubuh manusia memiliki sistem pengawal suhu dalaman yang sangat cekap.
4. Minuman soda melancarkan haid
Terdapat kepercayaan bahawa soda mampu mempercepatkan haid, namun dakwaan itu tidak disokong oleh pihak perubatan.
Sebaliknya, Natasya menjelaskan bahawa gula yang tinggi dalam minuman berkarbonat boleh memburukkan mood, meningkatkan keradangan dan menyebabkan ketidakselesaan fizikal semasa haid.
5. Tak boleh makan nanas
Antara kepercayaan lama yang sering disebut ialah pengambilan nanas ketika haid.
Menurut Natasya, nanas selamat dimakan dalam kuantiti biasa ketika haid.
Ini kerana, ia mengandungi enzim bromelain yang bersifat anti-radang dan mampu membantu mengendurkan otot.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa tubuh wanita bukanlah rapuh semasa haid, sebaliknya memerlukan penjagaan menyeluruh dari aspek dalaman dan luaran.
Natasya turut menekankan pentingnya kesihatan mikrobiom usus iaitu satu aspek yang jarang diberi perhatian tetapi sangat berkait dengan kestabilan hormon dan kitaran haid.
“Usus yang tidak sihat boleh mengganggu metabolisme estrogen, menyebabkan haid tidak teratur, memburukkan gejala prahaid (PMS) dan meningkatkan keradangan,” jelasnya.
Antara gejala yang mungkin menunjukkan masalah berkaitan usus termasuk kitaran haid tidak tetap, perubahan mood mendadak serta perut kembung atau rasa sakit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram