
WARISAN bukan sekadar untuk dikenang, malah ia perlu dihidupkan, dipakai dan dibanggakan.
Itulah semangat di sebalik Royal Sembilan, jenama fesyen yang diasaskan oleh Tunku Puteri Tunku Puan Sri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja’afar dengan satu misi jelas demi mengangkat kembali seni tenun Negeri Sembilan yang kian dilupakan.
Berteraskan motif bunga rasmi negeri tersebut yang jarang diberi perhatian, bunga lada atau disebut dalam loghat Negeri Sembilan, 'bungo lado', Royal Sembilan menyuntik nafas baharu ke dalam warisan lama, menjadikan kain tenun bukan sekadar lambang masa silam, tetapi sebahagian daripada gaya hidup Malaysia masa kini.
BACA LAGI: Abeer penerus legasi ibu, anak Sharifah Khasif johan Tilawah Al-Quran MQSS 2025
Tunku Jawahir proaktif mengangkat kembali seni tenun Negeri Sembilan yang kian dilupakan. — Instagram/@royalsembilan
Bagi Tunku Jawahir, menghidupkan semula seni tenun bukan sekadar citia-cita, tetapi menjadi tanggungjawab sebagai anak jati Negeri Sembilan.
Menerusi jenama Royal Sembilan yang diasaskannya bersama puterinya Tengku Asra Jehan Tengku Azlan pada 2019, mereka membawa semangat baharu dalam mengetengahkan identiti negeri melalui bunga lada.
"Apabila saya tengok negeri lain, semua ada hasil tempatan yang boleh dibanggakan dan dijadikan hadiah untuk dunia. Tapi Negeri Sembilan? Kami tiada sesuatu yang orang boleh tengok dan kata, ‘Oh, ini dari Negeri Sembilan’,” katanya dalam ketika ditemui Majoriti.
Beliau menambah, idea itu tercetus selepas bunga lada diisytiharkan sebagai bunga rasmi Negeri Sembilan, sekali gus membuka ruang untuk memperkenalkan identiti visual baharu bagi negeri itu.
Dari situlah Royal Sembilan muncul dengan rekaan tekstil berasaskan motif flora berkenaan yang diolah menjadi bentuk pucuk, bunga dan biji yang unik.
Motif tersebut kemudiannya digunakan dalam pelbagai jenis tekstil seperti tenun tangan, songket dan batik, menjadikan bunga lada bukan sekadar simbol rasmi negeri, malah menjadi asas utama dalam setiap rekaan Royal Sembilan.
Velvet robe antara rekaan menjadi signatur Royal Sembilan. — Instagram/@royalsembilan
Lebih daripada sekadar jenama fesyen, Royal Sembilan membawa visi mengangkat warisan budaya ke pentas global.
Soal rekaan pula, Tunku Jawahir menekankan keseimbangan antara moden dan tradisi.
“Kami nak kekalkan unsur warisan tapi tetap sesuai dengan gaya masa kini. Rekaan kena elegan tapi tak hilang nilai asalnya,” jelas beliau.
Namun cabarannya bukan sedikit. Ketiadaan tenaga kerja mahir dalam bidang tenunan di Negeri Sembilan menyebabkan beliau terpaksa membawa pasukan ke Terengganu, termasuk ke penjara Marang untuk mendapatkan khidmat tenun.
Kos yang tinggi menjadi cabaran utama untuk menghasilkan kain tenun ini secara besar-besaran, sekali gus menjadikannya lebih sesuai untuk pameran dan koleksi eksklusif yang tidak dijual di pasaran biasa.
“Kita buat untuk pameran di Galeri DiRaja Tuanku Ja’afar di Seremban dulu. Tapi saya tak nak ia kekal eksklusif.
"Kami sekarang sedang bangunkan koleksi bunga lada dalam bentuk batik dan tenunan mesin supaya lebih ramai rakyat boleh miliki dan pakai,” kongsinya.
Royal Sembilan bukan hanya mengetengahkan tenunan tradisional, tetapi turut menampilkan sentuhan moden yang elegan.
Antara rekaan signatur jenama ini ialah velvet robe, iaitu gabungan gaya diraja dengan gaya moden yang selesa yang menjadi tarikan utama.
Selain itu, koleksi moden sedia pakai (RTW) dan selendang buatan tangan dari Indonesia turut diberi nafas baharu melalui identiti Royal Sembilan, menjadikannya unik dan eksklusif di pasaran tempatan.
“Kami pilih sendiri rekaan dan warna, pastikan semuanya buatan tangan. Indonesia ada kelebihan dari segi bilangan penenun dan keupayaan menghasilkan produk berkualiti dengan harga lebih mampu milik,” jelasnya.
Royal Sembilan sudah mula mendapat tempat dalam kalangan pereka tempatan dan antarabangsa.
Berkongsi lanjut, Royal Sembilan sering terlibat dalam acara amal anjuran Datuk Seri Raja Shah Rezza dan daripada kerjasama itulah jenama ini diberi peluang untuk tampil dalam pertunjukan Minggu Fesyen Lelaki Kuala Lumpur (KLMFW) menerusi koleksi lelaki yang menampilkan motif bunga lada sebagai elemen utama.
Tahun ini, Royal Sembilan bakal kembali ke pentas yang sama dengan koleksi lelaki berasaskan motif bunga tersebut.
“Ini baru permulaan. Kami masih baru, jadi kami bergerak perlahan. Tapi sedikit demi sedikit orang mula kenal Royal Sembilan,” katanya.
Apabila ditanya harapannya terhadap golongan muda, Tunku Jawahir berkata generasi baharu perlu melihat sendiri proses rumit penghasilan tenun supaya lebih menghargai warisan negara.
“Saya tahu tak semua orang muda minat. Tapi kalau mereka tengok sendiri macam mana proses itu (tenunan) dijalankan, pasti akan rasa kagum.
"Nak hasilkan sehelai kain tenun itu susah, tapi hasilnya sangat cantik dan berbaloi,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram