Lebih 200 pereka termasuk dari Malaysia ketengah karya berasaskan tenun Sumba pada Minggu Fesyen Indonesia


  • Gaya
  • Isnin, 02 Jun 2025

Lebih 200 pereka fesyen dari pelbagai tempat datang ke Indonesia Fashion Week.

PENTAS peragaan Minggu Fesyen Indonesia (IFW) 2025 berubah menjadi persembahan budaya yang memukau apabila para model tampil menggayakan busana tradisional dari seluruh pelosok Indonesia. 

Diiringi cahaya gemerlapan dan muzik yang bertenaga, acara itu membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar gaya, tetapi juga cara menyampaikan identiti dan warisan.

IFW 2025 berlangsung dari 28 Mei hingga 1 Jun di Jakarta, Indonesia dengan penyertaan lebih 200 pereka fesyen dari pelbagai tempat termasuk Malaysia. 

BACA LAGI: Ramai lelaki sayang tapi tak pandai terus terang, ini 8 tanda ramai wanita terlepas pandang

BACA LAGI: Sudah diet, bersenaman tapi perut masih buncit? Ketahui 9 punca 'belly fat' ramai terlepas pandang

Pakaian berasaskan tenun Sumba yang dipadankan dengan jaket panjang lurik.

Acara itu turut meriah dengan pameran, forum kreatif dan sesi perkongsian ilmu. 

Yang menarik, pereka dari Armenia dan seorang pereka jemputan (Malaysia) turut mengambil bahagian sehingga menjadikan acara itu lebih berwarna dengan sentuhan antarabangsa.

Antara koleksi paling menonjol ialah hasil rekaan Essy Masita dari Yogyakarta. 

Koleksinya bertajuk Timeless Tradition menggabungkan pelbagai kain tradisional seperti lurik dari Jawa Tengah, tenun Badui dari Banten, batik tulis Jawa, kain tenun Batak dari Sumatera Utara dan tenun Sumba dari Nusa Tenggara Timur. 

Semua elemen itu diolah semula dalam rekaan moden yang sesuai untuk dipakai setiap hari.

Salah satu rekaan menarik ialah pakaian berasaskan tenun Sumba dipadankan dengan jaket panjang lurik dan dihiasi dengan rumbai asli. 

Menurut Essy, kain tradisional bukan sekadar bahan pakaian tetapi ia membawa cerita dan identiti bangsa.

“Saya nak anak muda pakai wastra (kain tradisional) dengan bangga, bukan hanya masa kenduri atau majlis tradisi tetapi juga dalam kehidupan seharian,” katanya.

Essy yang sudah lebih 20 tahun bergiat dalam dunia fesyen juga bekerja rapat dengan komuniti tempatan untuk memastikan pendapatan dilakukan secara adil dan memberi peluang kepada wanita menjana pendapatan. 

Karyanya turut pernah dipamerkan di pentas fesyen antarabangsa seperti London, Milan, Paris dan Australia.

Turut mencuri tumpuan ialah Yuni Pohan dari Sumatera Utara dengan koleksi bertajuk Melayu Megapolitan. 

Koleksi itu menggabungkan kebaya tradisional Deli Melayu dan songket Medan dengan motif batik megamendung, corak bunga, pucuk rebung dan sulaman halus.

"Setiap motif ada makna. Contohnya, motif pucuk rebung melambangkan harapan dan kesederhanaan," jelas Yuni.   - Bintang 

Boleh follow media sosial Majoriti di   Twitter  ,   Facebook  ,   Instagram  ,   WhatsApp Channel   dan   Telegram