[VIDEO] Jakuzi unik sambut depan pintu utama, Leona 'tour' vila impian ketika bercuti di Pulau Santorini


  • Hias
  • Isnin, 14 Jul 2025

Percutian Kasih Iris Leona di Pulau Santorini yang dimewahkan dengan pemandangan indah. — Instagram/Leona

PEMPENGARUH media sosial, Kasih Iris Leona sekali lagi mencuri tumpuan ramai selepas berkongsi pengalamannya bercuti ke Pulau Santorini, Greece bersama tiga rakannya baru-baru ini.

Lebih memukau pandangan apabila melihat pemandangan indah dari dalam sebuah rumah inap desa mewah di bawah kendalian perkhidmatan menyewa tempat tinggal, Airbnb.

Menerusi video dimuat naik anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu, rumah berkonsepkan vila dengan dua bilik tidur disifatkan sebagai satu penginapan istimewa pernah dihuninya.

BACA LAGI: Tak perlu berhenti kerja, wanita puaskan minat jadi pemandu pelancong sambilan

BACA LAGI: [VIDEO] Mudah, jimat masa, 'pager' inovasi baharu lancarkan sesi bergambar keluarga pada majlis kahwin

 

 

Mengajak penonton untuk turut merasai pengalamannya, Leona menunjukkan setiap sudut rumah yang direka khas buat si penghuninya.

Dilemparkan dengan pemandangan indah pulau yang terbentang luas di hadapan pintu masuk utama, penghuninya disambut dengan sebuah tab mandi atau jakuzi mini di tengah-tengah ruang santai dengan susunan sofa ringkas di luar.

Vila tersebut juga memiliki dua bilik tidur dilengkapi pintu gelangsar yang membolehkan cahaya semula jadi membanjiri ruang dalamnya.

"Bilik ini sangat luar biasa, ada pintu besar yang kita boleh buka untuk lihat bintang pada waktu malam," katanya dengan penuh teruja.

Selain bilik tidur, Leona turut memperlihatkan kabinet ringkas berhampiran ruang tamu dilengkapi dengan dapur elektrik dan peralatan memasak untuk tetamu menyediakan hidangan sendiri.

Ruang santai di luar rumah yang memaparkan pemandangan indah matahari terbenam. — Instagram/Leona

Hampir kesemua ruang vila itu juga direka dengan konsep estetika menggunakan gabungan warna lembut dan tenang iaitu putih, kelabu dan tona bumi.

Antara tarikan utama Airbnb berkenaan adalah ketenangan dan ruang privasi yang jauh dari kawasan pesat.

"Vila impian saya ini sangat peribadi, tiada jiran atau pelancong lain boleh nampak kami dari atas dan bawah," jelasnya.

Tidak hanya itu, Leona mendedahkan bahawa mereka turut disediakan sarapan pagi percuma dengan ruang makan yang luas sambil menikmati kemewahan alam semula jadi.

Sementara itu, Pulau Santorini sememangnya terkenal dengan deretan rumah-rumah putih berkubah biru yang tersusun indah di lereng tebing hingga ke kawasan pantainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram