Kamar mandi terima sentuhan 'mid-century', ruang peribadi Jane Chuck untuk 'recharge' diri


  • Hias
  • Khamis, 17 Jul 2025

Jane memahami betapa pentingnya sebuah ruang yang mampu berfungsi sebagai tempat rehat fizikal dan mental.

DALAM dunia reka bentuk dalaman moden, bilik air bukan lagi sekadar ruang utiliti tetapi ia kini dianggap sebagai ruang peribadi untuk merawat diri, menenangkan minda dan mewujudkan semula keseimbangan emosi.

Ia adalah ruang pertama kita kunjungi setiap pagi dan terakhir sebelum lena ke alam mimpi.

Oleh itu, setiap elemen dari pencahayaan hingga ke pilihan permukaan memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman harian yang menyeluruh.

BACA LAGI: Dahulu kanak-kanak menggeruninya, kini rotan 'trending' sebagai perabot, material dekorasi paling bergaya

BACA LAGI: 'Penthouse' 3 tingkat bernilai hampir RM1 bilion di New York, kediaman mewah tertinggi dunia

Bagi pengasas jenama kecantikan Motherchuckers, Jane Chuck, kepentingan itu bukan hanya teori.

Sebagai seorang usahawan, ibu dan personaliti digital, beliau memahami betapa pentingnya sebuah ruang yang mampu berfungsi sebagai tempat rehat fizikal dan mental.

Melalui kolaborasi bersama pereka dalaman Ben Tay dari Studio BBB, serta permukaan tahan lasak dan elegan daripada Cosentino, Jane berjaya mentransformasikan bilik airnya menjadi sebuah sanctuary berkonsepkan 'mid-century'.

Ia bukan sekadar cantik dipandang, tetapi benar-benar selesa untuk digunakan setiap hari.

Gambaran keseluruhan bilik air master Jane Chuck.

Bilik air utama konsep spa

Walaupun praktikaliti adalah keutamaan, bilik air utama juga boleh menjadi ruang peribadi menyerupai spa.

Tempat untuk menyendiri, berehat dan memperbaharui tenaga, Jane menginginkan suasana ceria di waktu pagi dan ketenangan pada waktu malam.

"Saya mahu bilik air ini terasa seperti spa, tempat saya boleh rehat dan 'recharge'," ujar Jane.

Ben Tay pula menjadikan gaya Usonian ciptaan arkitek ikonik Frank Lloyd Wright sebagai sumber inspirasi, lalu menyuntik elemen mid-century dengan sentuhan kontemporari segar.

Kombinasi tona dan tekstur dipilih dengan teliti untuk mewujudkan suasana harmoni dan damai.

Untuk lantai dan meja solek (vanity), mereka memilih Dekton Marmorio dari koleksi Dekton Pietra Kode, diinspirasikan daripada Travertino Navona sejenis batu semula jadi dari Tivoli, Rom.

Selain tahan calar, air dan bebas kotoran, bahan itu juga ideal untuk kawasan lembap seperti bilik air.

"Rekaan urat batu yang halus dan tekstur mewah pada Dekton Marmorio amat sesuai dengan cita rasa mid-century yang saya cari.

"Ditambah pencahayaan hangat, keseluruhan ruang terasa lebih selesa dan damai," jelas Jane.

Ben menambah, "Corak striasi pada Marmorio bertentangan indah dengan jubin mozek di dinding serta lapisan makore pommele veneer pada kabinet vanity, menjadikan keseluruhan ruang lebih tenang dan bertekstur."

Lantai bilik air tetamu dengan Dekton Ceppo daripada Koleksi Pietra Kode.

'Powder room' eksklusif

Sering dianggap ruang kecil yang tidak penting, powder room sebenarnya antara kawasan paling kerap digunakan oleh tetamu.

Jane menganggap ruang itu sebagai peluang untuk mengekspresikan karakter berani yang membezakan ia daripada bilik air utama.

"Saya mahu powder room ini terasa moden dan cool, satu ruang yang menyerlah untuk tetamu saya," katanya.

Lantai dan permukaan meja solek di bilik air Uuama Jane menggunakan Dekton Marmorio daripada koleksi Pietra Kode.

Bagi memenuhi hasrat itu, Jane memilih Dekton Ceppo, juga dari koleksi Pietra Kode, untuk lantai powder room.

Ia direka menyerupai batu Ceppo di Gre dari Itali, corak bertekstur batuan biru-kelabu memberi nuansa luar yang segar namun elegan.

"Coraknya yang unik berinspirasikan alam semula jadi menjadikan ruang ini lebih hidup dan mengundang," ujar Jane.

Menurut Ben, "Apabila disinari pencahayaan lembut, permukaan berbatu Ceppo mencipta suasana hangat dan mesra sangat sesuai untuk tetamu merasa selesa sejak pandangan pertama."

Keindahan tingkat kualiti hidup harian

Ruang bilik air yang direka dengan teliti oleh Jane Chuck membuktikan bahawa ruang paling asas dalam rumah juga mampu menjadi pusat ketenangan, refleksi dan ekspresi diri.

Dengan bahan seperti Dekton yang tahan lama, mudah diselenggara dan versatil dalam rekaan, bilik air kini boleh menjadi ruang bukan sahaja cantik, tetapi benar-benar berfungsi.

Dari menyambut pagi yang sibuk hingga menutup malam dengan tenang, rekaan 'thoughtful' seperti itu menunjukkan bagaimana reka bentuk baik mampu meningkatkan kualiti hidup secara menyeluruh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram