Raikan 62 pemenang, Anugerah ESG PIA 2024 sanjung komitmen korporat terhadap kelestarian


  • Bisnes
  • Khamis, 17 Jul 2025

Chan menyampaikan ucapan pada Malam Gala Anugerah ESG Positive Impact 2024. — NG KOK LEONG/The Star

SEBAGAI pengiktirafan terhadap amalan perintis dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), seramai 62 pemenang diraikan dalam ESG Positive Impact Awards (ESG PIA) 2024 atas sumbangan cemerlang mereka kepada kelestarian dan amalan perniagaan bertanggungjawab.

Edisi ketiga program anugerah tahunan itu berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Isnin dengan memberi penghargaan kepada syarikat yang inisiatif ESG mereka membentuk masa depan negara yang lebih baik, inklusif dan mampan.

Bertemakan 'Celebrating ESG Excellence', malam gala itu memberi penghormatan kepada syarikat-syarikat yang mengintegrasikan nilai-nilai ESG sebagai teras dalam operasi dengan melangkaui margin keuntungan.

BACA LAGI: Usaha ke arah memperhebatkan lagi agenda ESG di seluruh Asia

BACA LAGI: Strategi ESG untuk PKS: Bagaimana PKS jana penjimatan, tarik pelabur

Sebanyak 62 anugerah telah disampaikan kepada 36 syarikat pemenang, merangkumi pelbagai sektor dan skala perniagaan.

Antara acara kemuncak malam anugerah tersebut ialah penyampaian Most Outstanding ESG Initiative 2024 kepada dua buah syarikat iaitu Above Creative Events (M) Sdn Bhd dan Heineken Malaysia Bhd.

Bagi kategori PKS dan syarikat pertengahan, Above Creative Events (M) Sdn Bhd diiktiraf atas usaha berimpak tinggi dalam Hak Asasi Manusia & Piawaian Buruh.

Sementara itu, Heineken Malaysia Bhd. (kategori syarikat besar) atas komitmennya dalam Pengurusan dan Kecekapan Air.

Pemenang Anugerah Emas dalam kategori tertentu termasuk MISC Bhd bagi Pemeliharaan Biodiversiti, Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Kecekapan Tenaga), Alliance Bank Malaysia Bhd (Hubungan dengan Komuniti Setempat) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) (Transformasi Perniagaan).

Grand occasion: With the ESG Positive Impact Awards 2024 winners (front row, from left) Star Media Group (SMG) chief operating officer Lydia Wang, SMG group chief executive officer Chan Seng Fatt, Natural Resources and Environmental Sustainability Ministry secretary-general Datuk Dr Ching Thoo, Most Outstanding ESG Initiative (SME/Mid) winner (Human Rights & Labour Standards) Above Creative Events (M) Sdn Bhd chief imagination officer Micky Ng, Human Resources Minister Steven Sim; Most Outstanding ESG Initiative (Large) winner (Water Management and Efficiency) Heineken Malaysia Berhad corporate affairs and legal director Renuka Indrarajah, SMG chairman Tan Sri Wong Foon Meng, OCBC Bank chief executive officer Tan Chor Sen, Investment, Trade and Industry Ministry (Miti) Industry Environmental, Social And Governance division senior director Nor Hasnah Badroddin and SMG chief content officer Esther Ng at One World Hotel in Petaling Jaya, July 15, 2025. — GLENN GUAN/The Star

Para pemenang Anugerah ESG Positive Impact 2024 bergambar bersama tetamu kehormat (barisan hadapan, dari kiri) Wang, Chan, Ching, Micky, Sim, Renuka Indrarajah (Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Undang-Undang Heineken Malaysia Bhd), Wong, Tan, Nor Hasnah dan Esther di Hotel One World, Petaling Jaya. — GLENN GUAN/The Star

Memasuki tahun ketiga penganjuran, ESG PIA meletakkan dirinya sebagai penanda aras dalam usaha kelestarian korporat di Malaysia.

Anugerah tersebut dianjurkan oleh Star Media Group (SMG) Bhd dengan memperoleh khidmat nasihat daripada Ernst & Young selain disokong oleh rangkaian luas rakan strategik.

Ia juga mendapat pengesahan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, yang hadir sebagai tetamu kehormat berkata, Malaysia perlu menilai semula model ekonomi sedia ada bagi menempuh tekanan geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.

Beliau menggesa pelaburan jangka panjang dalam bakat tempatan dan inovasi untuk menjamin daya tahan negara serta menekankan keperluan mendesak untuk Malaysia merintis laluan sendiri dalam persekitaran global semasa.

“Kita mesti fikir semula model ekonomi kita jika mahu bertahan dalam cabaran geopolitik dan geoekonomik – di satu pihak, persaingan global secara langsung dan di pihak lain, perlindungan kuasa besar yang semakin berkembang,” katanya.

Sim berkata, Malaysia perlu melabur secara besar-besaran dalam keupayaan tempatan termasuk bakat, teknologi, produk dan perkhidmatan, serta cap dagangan termasuk jenama dan paten Malaysia.

“Secara asasnya, kita perlu melabur dalam strategi jangka panjang yang meningkatkan rantaian nilai ekonomi dengan cara yang memberi manfaat kepada rakyat dan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt, dalam ucapan alu-aluannya berkata, para pemenang mewakili generasi baharu pemimpin korporat yang meletakkan matlamat dan impak sosial sebagai keutamaan.

“Inilah barisan para pemimpin yang membuktikan bahawa masa depan perniagaan bukan hanya mengenai keuntungan, tetapi juga matlamat – tidak hanya mengenai pertumbuhan, tetapi juga impak," katanya.

Dalam pada itu, OCBC Bank (Malaysia) Bhd, penaja utama acara itu sejak 2022, mengulangi komitmennya untuk menyokong kemajuan ESG di seluruh Malaysia.

“Sebagai sebuah bank, kami kekal komited untuk membolehkan peralihan ini dengan memperkasakan pelanggan, komuniti dan pihak berkepentingan bagi mencapai impak positif jangka panjang.

“Tahniah kepada semua pemenang dan yang tercalon. Visi, kepimpinan dan inovasi anda akan membentuk masa depan yang lebih mampan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Tan Chor Sen dalam satu kenyataan.

Pengasas Above Creative Events, Micky Ng berkata, anugerah itu sangat bermakna buat syarikatnya kerana prinsip ESG telah diserap dalam operasi teras syarikat.

“Ia amat bermakna kepada kami kerana ESG bukan sekadar dasar – ia adalah standard, dan sebahagian daripada strategi utama perniagaan kami.

“Saya rasa pengiktirafan ini membuktikan komitmen tersebut. Ia merupakan hasil yang besar dan ganjaran yang bermakna buat kami,” katanya.

Pengarah Urusan Heineken Malaysia, Martijn van Keulen berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan yang bermakna terhadap pendekatan ESG syarikat dan usaha pasukannya.

“Saya rasa ini satu pengiktirafan buat kami semua, untuk syarikat dan cara kami mendekati inisiatif ESG.

“Ia juga menjadi pemangkin semangat yang besar untuk pasukan kami terus mara dan memimpin perubahan di Malaysia," tambahnya.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo dan Pengarah Kanan Bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Dalam Industri MITI, Nor Hasnah Badroddin.

Hadir sama barisan pengurusan kanan SMG termasuk Pengerusi Tan Sri Wong Foon Meng, Ketua Pegawai Operasi, Lydia Wang dan Ketua Pegawai Kandungan, Datin Paduka Esther Ng.

Program tahun ini menyaksikan penyertaan syarikat besar termasuk PETRONAS Dagangan Bhd, Sime Darby Property Bhd, Sunway Bhd, Johor Port Bhd dan IOI Properties Group, selain syarikat PKS dan syarikat pertengahan.

Anugerah disampaikan merangkumi 16 kategori di bawah empat teras utama – Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus dan Lain-lain – meliputi Tenaga Boleh Diperbaharui, Pengurusan Sisa, Pengurusan Bakat dan Perkongsian Inovatif.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memimpin agenda ESG, SMG mengumumkan penganjuran Asia ESG Summit dari 5 hingga 7 November.

Acara berkenaan akan menghimpunkan pemimpin serantau, pelabur dan pencetus perubahan untuk meneroka strategi ESG yang inovatif dan transformatif.

Sempena sidang kemuncak itu, Asia ESG Positive Impact Awards 2025 edisi pertama akan diadakan pada 6 November. — The Star/ARFA YUNUS

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram