Dahulu kanak-kanak menggeruninya, kini rotan 'trending' sebagai perabot, material dekorasi paling bergaya


  • Hias
  • Selasa, 15 Jul 2025

Rotan kini menjadi elemen dekorasi utama yang menyuntik suasana hangat dan semula jadi dalam ruang kediaman moden. — Agensi

JIKA dahulu rotan hanya dikenali sebagai 'alat disiplin' tergantung di belakang pintu atau disimpan kemas dalam kabinet dapur.

Kini material semula jadi itu kembali mencuri perhatian tetapi dalam bentuk yang jauh lebih mesra dan bergaya.

Dalam dunia reka bentuk dalaman moden dan boho tropikal, rotan bukan sekadar retro tetapi menjadi simbol keseimbangan antara alam dan estetika.

BACA LAGI: Mahu putuskan hubungan sebab tak serasi? Cara terbaik 'reject' si dia tanpa mengecilkan hati

BACA LAGI: [VIDEO] Hadir berkostum Superman di parti hari jadi, usaha Syed Saddiq tambat hati anak Bella Astillah

Berikut lima kegunaan utama rotan yang kini diangkat sebagai perhiasan penting dalam menghias ruang kediaman masa kini:

Kerusi rotan gaya papasan dengan bentuk bulat besar bukan sahaja selesa, malah memberi kesan visual yang menarik untuk ruang tamu atau bilik tidur.  Agensi

1. Kerusi Aksen (Accent Chair)

Rotan sering dijadikan bahan utama untuk kerusi beraksen kerana ia ringan tetapi cukup tahan lasak.

Reka bentuk kerusi rotan kontemporari hadir dengan lengkungan lembut, dudukan berkusyen linen dan kaki kayu solid sekali gus sempurna diletakkan di sudut bacaan atau berhampiran tingkap.

Contohnya, kerusi rotan gaya papasan dengan bentuk bulat besar bukan sahaja selesa, malah memberi kesan visual yang menarik untuk ruang tamu atau bilik tidur.

Rotan sebagai bingkai memberikan nuansa 'handmade' yang menyuntik keaslian ke dalam reka bentuk moden.  Agensi

2. Penyeri Dinding

Tidak perlu dinding kosong membosankan, bingkai cermin rotan dengan motif matahari atau anyaman tradisional memberi tekstur organik pada ruang.

Ia sesuai digantung di ruang makan, lorong masuk atau sebagai 'feature wall' di ruang tamu.

Gaya bohemian sangat meminati elemen itu kerana ia memberi suasana santai dan relaks.

Tambahan pula, rotan sebagai bingkai memberikan nuansa 'handmade' yang menyuntik keaslian ke dalam reka bentuk moden.

Lampu rotan kini banyak digunakan di kafe moden, bilik Airbnb, serta ruang kediaman berkonsep Japandi dan Scandinavian Tropical.  Agensi

3. Lampu Bermotif Tropikal

Lampu rotan memberi efek cahaya hangat dan corak bayang-bayang yang unik apabila dinyalakan.

Sama ada sebagai 'pendant light' di atas meja makan atau 'floor lamp' di sudut bilik tidur, ia membawa sentuhan alam semula jadi ke dalam ruang bandar.

Contoh popular termasuk lampu rotan berbentuk loceng atau sangkar burung yang kini banyak digunakan di kafe moden, bilik Airbnb, serta ruang kediaman berkonsep Japandi dan Scandinavian Tropical.

Gabungan kayu jati dengan panel rotan anyam menghasilkan perabot bergaya klasik tropika.  Agensi

4. Kabinet Estetik Praktikal

Rotan bukan sahaja hiasan, malah cukup praktikal sebagai bahan kabinet atau pintu almari kerana ia membenarkan pengudaraan.

Ini menjadikannya pilihan ideal untuk rak kasut, kabinet dapur kering, atau almari pakaian.

Gabungan kayu jati dengan panel rotan anyam menghasilkan perabot bergaya klasik tropika yang kini kembali digemari, terutama dalam projek reka bentuk rumah bertemakan resort atau Bali moden.

Banyak jenama tempatan kini menghasilkan rekaan rotan moden dengan sentuhan kontemporari.  Agensi

5. Perabot Hiasan Tambahan

Untuk mereka yang mahukan sentuhan rotan tanpa mengubah keseluruhan dekorasi, perabot kecil seperti meja sisi bulat, bangku rendah atau ottoman rotan adalah pilihan sempurna.

Diletakkan di sisi sofa atau di ruang rehat luar, elemen kecil itu sudah cukup menjadikan ruang tampak lebih hidup dan natural.

Malah, banyak jenama tempatan kini menghasilkan rekaan rotan moden dengan sentuhan kontemporari, menjadikan ia mudah dipadankan dengan pelbagai gaya kediaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram