'Kami bukan dalam bahaya', 'plot twist' kisah wanita Rusia tinggal dengan anak kecil di dalam gua


  • Bonda
  • Selasa, 15 Jul 2025

Seorang wanita Rusia bersama dua anaknya ditemui tinggal dalam gua berhampiran perkampungan di Gokarna, India. — Agensi

SEORANG wanita warga Rusia, Nina Kutina, tampil mempertahankan keputusannya tinggal bersama dua anak perempuannya di dalam sebuah gua di kawasan perbukitan Ramateertha, Gokarna, Karnataka, India.

Menurut Nina, mereka bukan melarikan diri daripada masyarakat atau hidup dalam bahaya, sebaliknya memilih cara hidup yang dekat dengan alam sekitar.

Ia merupakan satu gaya hidup yang telah lama diamalkannya.

BACA LAGI: Tiroid ganggu kesihatan remaja wanita, rawatan awal mampu selamat nyawa

BACA LAGI: 'Dreamland', kediaman futuristik Alicia Keys, Swizz Beatz lambang cinta, impian

"Kami sangat mencintai alam semula jadi. Saya telah tinggal dalam hutan di lebih 20 buah negara sepanjang hidup.

"Kami ada banyak pengalaman hidup begini dan kami tidak dalam keadaan nyawa terancam. Saya tidak bawa anak-anak saya untuk mati di dalam hutan. Malah, mereka sangat gembira," katanya kepada ANI.

Kisah Nina mencetuskan kebimbangan ramai, apatah lagi apabila ditemui tinggal di dalam gua terpencil bersama dua anak kecil.

Namun, Nina menegaskan lokasi tersebut sebenarnya berhampiran dengan penempatan penduduk.

"Gua itu bukan di tengah hutan tebal yang jauh daripada manusia atau tempat kami tak boleh beli makanan.

"Ia sangat hampir dengan kampung. Malah, gua itu besar dan cantik," jelasnya lagi.

Beliau turut berkongsi bahawa mereka menjalani kehidupan yang aktif dan sihat di sana termasuk mandi di air terjun berdekatan serta tidak pernah kekurangan makanan.

"Kami mandi di air terjun, anak-anak saya tidak kebuluran."

Menurut laporan, Nina masuk ke India pada 2016 dengan visa perniagaan, namun dokumen tersebut dikatakan tamat tempoh pada 2017.

Bagaimanapun, Nina menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa visa mereka hanya tamat baru-baru ini, bukan sejak 2017.

"Kami memang sudah tidak ada visa sah, tapi ia hanya tamat tempoh sekejap. Selepas 2017, kami sempat ke empat negara lain dan kemudian kembali ke India," katanya.

Kehadiran keluarga itu dikesan secara tidak sengaja ketika pihak berkuasa melakukan rondaan susulan kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut.

"Pasukan kami ternampak kain sari dan pakaian lain sedang dijemur berhampiran sebuah gua di Bukit Ramatirtha.

"Apabila dihampiri, mereka menemui wanita itu bersama anak-anaknya," kata Ketua Polis Daerah Uttara Kannada, M Narayana.

Menurut polis, keluarga itu tidur di atas kepingan plastik dan hanya bergantung kepada makanan segera untuk kelangsungan hidup.

Walaupun kisah itu mengejutkan banyak pihak, Nina tetap mempertahankan gaya hidup mereka sebagai pilihan peribadi dan bukan satu bentuk penderaan atau pengabaian terhadap anak-anak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram