Walau jarang naik pentas terima anugerah, ibu tetap bangga anak tak pernah 'gagal' siap kerja sekolah, jaga disiplin


  • Bonda
  • Khamis, 17 Jul 2025

Tak semua anak bawa pulang trofi, akan tetapi ramai permata hati bawa 'pulang' ilmu dan pengalaman yang lebih berharga. — Gambar hiasan/Freepik AI

"ANAK-ANAK aku setakat ini belum pernah naik pentas ambil anugerah kecemerlangan."

Satu ayat ringkas yang ditulis oleh Zurain Larabi di platform Threads, tapi cukup untuk buat ramai ibu bapa berhenti sejenak dan fikir semula tentang apa erti sebenar kejayaan seorang anak.

Berbeza dengan pengalaman peribadinya yang sering naik pentas semasa zaman sekolah, Zurain akui anak-anaknya tidak melalui perkara sama.

Tapi dalam nada yang jujur dan tanpa penyesalan, beliau berkongsi di laman media sosial miliknya.

BACA LAGI: Dahulu kanak-kanak menggeruninya, kini rotan 'trending' sebagai perabot, material dekorasi paling bergaya

BACA LAGI: 'Penthouse' 3 tingkat bernilai hampir RM1 bilion di New York, kediaman mewah tertinggi dunia

"Tapi tiada penyesalan. Aku pun salah, tak banyak masa untuk ajar dia hari-hari. Tapi setiap kali cikgu senarikan panjang-panjang nama budak yang tak siap kerja rumah, nama anak aku mesti tak ada.

Sekurang-kurangnya aku tahu anak aku bertanggungjawab."

Dalam dunia yang banyak menilai berdasarkan piala dan sijil, kita kadang-kadang terlupa ada anak-anak tak pernah naik pentas, tapi mereka konsisten siapkan tugasan, hormat cikgu, dan bangun pagi sendiri ke sekolah tanpa dipaksa.

Mereka mungkin senyap, tapi mereka hadir.

Mereka mungkin tak bising, tapi bertanggungjawab dan itu bukan perkara kecil.

Reaksi yang diterima di ruang komen sangat luar biasa apabila ramai ibu bapa tampil berkongsi rasa bukan keluhan, tetapi satu bentuk kelegaan.

"Puan dah sedapkan hati saya hari ini. Anak-anak saya semua biasa sahaja. Tapi sepanjang mereka sekolah, belum pernah lupa buat kerja rumah. Mummy sekadar tanya-tanya manja sahaja."

Seorang ibu lain pula berkongsi kisahnya sebagai bekas pelajar cemerlang, atlet, penerima anugerah dekan tetapi anak-anaknya tidak mengikuti jejak sama. Namun dia tidak kecewa:

"Anak saya tak menang akademik, tapi cikgu selalu puji sahsiah dan disiplin dia. Hormat guru, tak tinggal sekolah. Saya rasa saya dah menang di situ."

Ramai ibu bapa tampil berkongsi rasa bersyukur mempunyai anak yang bertanggungjawab melunaskan tugasan diamanahkan para guru.  Gambar hiasan/Freepik

Zaman sekarang, kejayaan bukan satu rupa sahaja kerana bukan semua anak akan jadi 'tiga terbaik' dalam kelas.

Tapi kalau anak itu jujur, bertanggungjawab, tahu apa perlu dibuat tanpa disuruh dan kekal beradab dalam dunia yang semakin kasar itu juga satu bentuk kemenangan.

Kadang-kadang, kejayaan paling tulen bukan bila mereka naik pentas, tapi apabila mereka melangkah ke hidup dewasa sebagai manusia yang tahu menjaga diri dan menjaga orang lain.

Tak semua anak akan bawa pulang trofi, akan tetapi ramai anak sedang bawa pulang satu perkara yang lebih berharga.

Ia adalah nilai diri yang tak boleh dibeli atau diajar dalam satu malam.

Kalau anak-anak kita belum pernah naik pentas, jangan risau.

Mereka mungkin sedang belajar berdiri teguh di dunia sebenar perlahan-lahan, dengan cara mereka sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram