
SEORANG remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali sebagai Aisha menunjukkan gejala hipertiroidisme yang agak serius.
Selama beberapa bulan, berat badannya menurun walaupun seleranya tidak berubah malah, sentiasa lapar.
Ibu bapanya perasan beliau semakin gelisah, sukar tidur dan tangannya sentiasa menggeletar.
BACA LAGI: 'Dreamland', kediaman futuristik Alicia Keys, Swizz Beatz lambang cinta, impian
Beliau juga berpeluh lebih banyak daripada biasa dan tidak mampu menumpukan perhatian di sekolah.
Guru-gurunya menyangka dia hanya mengalami tekanan atau perubahan emosi remaja.
Namun, pada suatu malam, Aisha mengalami degupan jantung yang sangat teruk.
Jantungnya berdegup terlalu laju, beliau tercungap-cungap, wajahnya kemerahan dan kelihatan amat tertekan.
Ibu bapanya segera membawanya ke unit kecemasan hospital.
Di sana, doktor mendapati degupan jantungnya terlalu laju, suhu badannya tinggi dan dia berada dalam keadaan penuh keliru.
Keadaan itu dikenali sebagai ribut tiroid, ia satu komplikasi yang jarang berlaku tetapi sangat berbahaya akibat hipertiroidisme yang tidak terkawal.
Aisha dimasukkan ke unit rawatan rapi dan diberikan ubat untuk memperlahankan jantung serta menyekat pengeluaran hormon tiroid.
Beliau kemudian dirujuk kepada pakar endokrinologi pediatrik dan disahkan menghidap penyakit Graves.
Apabila bercakap tentang masalah tiroid, kebanyakan orang membayangkan ia hanya berlaku dalam kalangan golongan dewasa.
Namun, hakikatnya, kanak-kanak dan remaja juga tidak terkecuali daripada mengalami gangguan hormon tersebut.
Salah satu keadaan yang boleh berlaku ialah hipertiroidisme, dengan punca paling lazim dalam kalangan kanak-kanak dikenali sebagai penyakit Graves.
Banyak dialami kanak-kanak perempuan
Tiroid adalah kelenjar kecil berbentuk seperti rama-rama yang terletak pada bahagian hadapan leher.
Ia menghasilkan hormon penting dalam mengawal metabolisme badan iaitu bagaimana tubuh menggunakan tenaga.
Apabila kelenjar itu menjadi terlalu aktif dan menghasilkan hormon secara berlebihan, keadaan itu dinamakan hipertiroidisme.
Walaupun tidak normal dalam kalangan kanak-kanak, gangguan itu tetap boleh berlaku.
Dianggarkan satu daripada setiap 5,000 kanak-kanak boleh menghidapnya, terutamanya dalam kalangan remaja perempuan.
Penyakit Graves pula menyumbang lebih 95 peratus daripada kes hipertiroidisme dalam kumpulan usia itu.
Ia adalah sejenis gangguan autoimun iaitu sistem pertahanan badan tersilap menyerang kelenjar tiroid sendiri, menyebabkan ia membesar dan menghasilkan hormon berlebihan.
Punca sebenar tidak selalu diketahui, tetapi penyakit itu lazimnya diwarisi dalam keluarga dan lebih kerap menyerang kanak-kanak perempuan.
Sukar tidur, sentiasa resah dan mengalami perubahan emosi antara simptom dialami individu menghidap hipertiroidisme. — Gambar hiasan/Freepik AI
Tanda-tanda dan cara kenal pasti
Hipertiroidisme dalam kalangan kanak-kanak mungkin tidak sama seperti orang dewasa.
Antara gejala yang patut diberi perhatian oleh ibu bapa dan pengamal kesihatan termasuk:
- Kehilangan berat badan tanpa sebab walaupun selera makan normal atau meningkat.
- Terasa panas atau berpeluh secara berlebihan.
- Tangan menggeletar.
- Sukar tidur atau sentiasa resah.
- Jantung berdebar atau berdenyut tidak sekata.
- Mudah marah, perubahan emosi atau sukar fokus.
- Mata yang tersembul keluar (dalam kes tertentu penyakit Graves).
- Kelenjar tiroid yang membengkak (goiter) pada leher.
Tidak semua kanak-kanak menunjukkan semua simptom, malah ada yang hanya mengalami perubahan kecil.
Oleh itu, kesedaran awal amat penting.
Pengesahan dilakukan melalui ujian darah bagi mengukur paras hormon tiroid (T3 dan T4 bebas) serta hormon perangsang tiroid (TSH).
Hipertiroidisme dikesan apabila hormon tiroid tinggi dan TSH sangat rendah.
Dalam kes penyakit Graves, antibodi perangsang reseptor tiroid (TRAb) akan dikesan.
Kadangkala, ujian tambahan seperti imbasan atau ultrabunyi tiroid diperlukan bagi memastikan tiada punca lain.
Rawatan dan pengurusan
Rawatan penyakit Graves dalam kalangan kanak-kanak bertujuan mengurangkan penghasilan atau kesan hormon tiroid berlebihan.
Ubat-ubatan
Rawatan utama melibatkan pengambilan ubat antitiroid seperti karbimazol atau metimazol yang diambil setiap hari untuk menghalang penghasilan hormon.
Biasanya rawatan berlangsung selama beberapa tahun kerana penghentian awal boleh menyebabkan penyakit berulang.
Ubat itu selalunya berkesan dan selamat, tetapi memerlukan pemantauan darah secara berkala.
Dos paling rendah yang berkesan akan digunakan selepas keadaan stabil bagi mengelakkan dos berlebihan atau tidak mencukupi.
Kesan sampingan yang jarang tetapi serius termasuk penurunan sel darah putih (agranulositosis) dan masalah hati.
Ibu bapa harus segera membawa anak ke hospital jika berlaku demam, sakit tekak atau kulit menjadi kekuningan.
Terapi iodin radioaktif
Rawatan itu sesuai untuk remaja lebih dewasa atau orang dewasa.
Ia bertindak memusnahkan tisu tiroid yang terlalu aktif dan akan menyebabkan hipotiroidisme.
Keadaan hipotiroid lebih mudah dikawal melalui pengambilan hormon pengganti.
Pembedahan
Sekiranya ubat tidak berkesan atau berlaku komplikasi, pembedahan membuang tiroid mungkin diperlukan.
Seperti terapi iodin, pesakit perlu mengambil hormon tiroid sepanjang hayat selepas pembedahan.
Dalam kes Aisha, beliau diberi ubat karbimazol setiap hari dengan pemantauan berkala bersama pakar endokrinologi kanak-kanak.
Dalam tempoh beberapa bulan, keadaannya mula menunjukkan perubahan positif.
Selera makannya kembali normal, berat badannya stabil dan dia tidur lebih lena.
Prestasi di sekolah meningkat dan tenaganya kembali seperti biasa.
Apa yang paling penting, simptom bahaya seperti ribut tiroid tidak lagi berulang.
Apa ibu bapa perlu tahu
Hipertiroidisme adalah penyakit serius, tetapi boleh dirawat.
Pengesanan awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi seperti ribut tiroid, gangguan tumbesaran dan masalah tulang atau perkembangan.
Sekiranya anak anda mengalami gejala seperti kehilangan berat badan tanpa sebab, gelisah atau jantung berdebar, segera berjumpa pakar kanak-kanak.
Rawatan untuk kanak-kanak yang mengalami gangguan hormon tiroid memerlukan perhatian pakar endokrinologi pediatrik.
Pemantauan berkala, pelarasan dos ubat dan sokongan berterusan adalah asas penting dalam pengurusan jangka panjang.
Penyakit Graves dan hipertiroidisme sering terlepas pandang dalam kalangan remaja, tetapi kesannya terhadap kesihatan anak sangat besar dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat.
Namun, dengan rawatan yang betul, kebanyakan kanak-kanak mampu menjalani kehidupan sihat seperti biasa sama seperti Aisha. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram