
SEMAKIN ramai rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan penapis air berteknologi Reverse Osmosis (RO) di rumah, namun tidak ramai yang sedar air yang terlalu bersih itu sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Public Health Malaysia, teknologi RO sememangnya cekap menyingkirkan pelbagai bahan pencemar seperti logam berat, bakteria dan kekotoran lain.
Namun, air yang ditapis secara menyeluruh itu juga turut menyingkirkan hampir semua mineral penting yang diperlukan tubuh seperti kalsium, magnesium dan kalium.
Air RO yang rendah mineral bukan sahaja tidak membekalkan khasiat kepada tubuh, malah ia boleh menyerap semula mineral dari badan melalui proses osmosis terbalik.
Dalam tempoh tertentu, keadaan itu boleh mengganggu keseimbangan tubuh dan menjejaskan kesihatan tulang, gigi serta sistem saraf.
Antara risiko yang boleh berlaku akibat kekurangan mineral ialah pelbagai gangguan pada tubuh bergantung kepada jenis mineral yang tidak mencukupi.
Sebagai contoh, kekurangan kalsium boleh menyebabkan tulang menjadi rapuh, rasa mencucuk di hujung jari, serta gusi mudah berdarah.
Jika seseorang mengalami kekurangan magnesium, mereka berisiko mengalami keletihan yang berpanjangan walaupun mendapat tidur yang mencukupi, selain turut menghadapi rasa cemas dan gangguan tidur.
Sementara itu, kekurangan kalium pula boleh menyebabkan otot menjadi lemah dan individu tersebut kerap mengalami kekejangan otot.
Malah, gejala-gejala awal kekurangan mineral juga sering disalah anggap sebagai masalah biasa seperti pening sewaktu berdiri, jantung berdebar atau keletihan tanpa sebab.
Menurut kenyataan itu, risiko kekurangan mineral lebih tinggi bagi individu yang kurang mengambil makanan berkhasiat seperti susu, sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Penggunaan penapis RO tidak semestinya perlu dihentikan sepenuhnya.
Sebaliknya, pengguna dinasihatkan mengambil beberapa langkah mudah bagi memastikan tubuh tetap mendapat mineral mencukupi seperti:
- Amalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan sumber mineral semulajadi seperti susu, kekacang dan sayur hijau.
- Pertimbangkan penggunaan penapis air yang menambah semula mineral selepas proses RO.
- Selang-selikan pengambilan air RO dengan air mineral semulajadi.
- Kekalkan gaya hidup aktif dan hidrasi yang mencukupi setiap hari.
Public Health Malaysia mengingatkan bahawa air yang baik bukan sahaja perlu jernih dan bersih, tetapi juga berperanan menyumbang kepada keseimbangan tubuh dan kesihatan menyeluruh.
Sebagai pengguna, anda digalakkan lebih peka dan bijak dalam memilih sistem penapisan air serta memahami keperluan badan terhadap mineral penting agar kesihatan tidak terjejas secara perlahan tanpa disedari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram