[VIDEO] Porsche 911 GT3 RS sentuhan kreatif Dua Lipa bakal dilelong, hasil bidaan disalurkan badan amal seni, budaya Kosovo


  • Sukses
  • Rabu, 16 Jul 2025

Dua Lipa mereka bentuk sebuah Porsche 911 GT3 RS edisi khas yang akan dilelong dalam acara ikonik Goodwood Festival of Speed.

BUKAN sahaja terkenal di pentas muzik, nama penyanyi antarabangsa, Dua Lipa kini menjadi perhatian ramai dalam dunia permotoran. 

Ini berikutan sebuah jentera lumba Porsche 911 GT3 RS hasil sentuhan kreatif anak kelahiran Britain berdarah Albania itu bakal dilelong pada acara berprestij Goodwood Festival of Speed.

Keseluruhan hasil jualan disalurkan kepada organisasi amal, Sunny Hill Foundation yang ditubuhkannya bagi menyokong seni dan budaya di Kosovo.

Model unik dinamakan Dua Lipa Rennstall GT3 RS itu pertama kali diperkenalkan pada Grand Prix Monaco dan terus mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat automotif dan penggemar muzik.

BACA LAGI: Penapis air RO mudaratkan tubuh, pakar dedah risiko kekurangan mineral penting yang ramai tak sedar

BACA LAGI: Kanak-kanak membesar dalam keadaan serba kekurangan cenderung bawa 5 tabiat ini ke alam dewasa

Berbeza daripada model asal, kereta itu tampil dengan rekaan luaran menggabungkan pusaran warna hijau, hitam, emas dan merah iaitu hasil kolaboratif eksklusif antara pasukan rekaan Porsche dan Dua Lipa sendiri. 

Ia bukan sekadar Porsche edisi khas, tetapi simbol kepada semangat, identiti dan cita rasa seni penyanyi tersebut.

“Projek ini adalah gabungan emosi muzik, reka bentuk dan pemanduan. Saya mahu hasilkan sesuatu yang meraikan kreativiti dan budaya, seiring dengan matlamat Sunny Hill Foundation,” kata Dua Lipa dalam satu kenyataan.

Dibina berasaskan model 992-generation 911 GT3 RS, jentera itu dilengkapi enjin 4.0-liter flat-six aspirasi natural yang mampu memecut hingga 9,000 rpm. 

Ia menghasilkan kuasa sehingga 525 PS (518 hp), dihantar ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar PDK 7-kelajuan sehingga menjadikan kereta itu bukan sahaja berjiwa seni tetapi kekal berkuasa di litar.

Sebuah rumah lelongan ternama, RM Sotheby’s akan mengendalikan jualan unit eksklusif itu yang dijangka menarik perhatian bukan sahaja daripada pengumpul kereta mewah, tetapi juga peminat tegar selebriti.

Walaupun tiada harga rizab diumumkan secara rasmi, pakar industri menjangkakan kenderaan itu mampu meraih nilai lebih £500,000 (RM3 juta) menjadikannya antara Porsche rekaan selebriti paling berharga pernah dilelong untuk tujuan kebajikan.

Goodwood Festival of Speed yang terkenal sebagai acara utama dunia permotoran dijangka akan menjadi detik bersejarah apabila nama seorang penyanyi pop mendominasi barisan jentera lumba mewah.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram