'Influencer' popularkan konsep 'baju pakai sekali' demi konten, lambakan pakaian tak terpakai penuhi tapak pelupusan


  • Gaya
  • Rabu, 16 Jul 2025

Trend pakaian sekali pakai untuk kandungan media sosial menyumbang kepada peningkatan sisa tekstil global setiap tahun. — Gambar hiasan/Freepik

SETIAP kali melayari media sosial, pasti ada sahaja wajah pempengaruh mempamerkan gaya baharu.

Sama ada rakaman video, foto bergaya atau promosi jenama, penampilan yang segar dan berbeza menjadi ‘modal’ utama kandungan digital masa kini.

Namun di sebalik imej cantik dan rakaman sempurna itu, tersimpan satu persoalan besar yang jarang diberi perhatian.

Ke mana perginya semua pakaian yang hanya dipakai sekali?

BACA LAGI: BCL sokong Noah minat muzik, syukur suami baharu diterima keluarga Ashraf Sinclair

BACA LAGI: Bukan setakat wanita Kedah, helah licik lancar 3 modus operandi bolot harta bekas suami terbongkar

 

Pakai sekali demi konten

Menerusi dokumentari oleh agensi, pempengaruh dari Mumbai, India, Misimi Kashyap dengan lebih 100,000 pengikut di Instagram, mengakui bahawa kebanyakan kandungannya melibatkan penampilan yang sentiasa berubah.

Beliau sering memakai pakaian baharu setiap kali menghasilkan kandungan untuk media sosial.

"Jika mempunyai pencahayaan yang baik, rambut didandan elok dan produk yang digayakan juga kelihatan cantik, sebaik selesai rakaman, saya tak akan memakainya semula," katanya

Tambah Misimi, banyak jenama yang menghubunginya bukan untuk membayar dengan wang, sebaliknya menghantar produk sebagai ganjaran di atas kerjasama.

“Sejak kebelakangan ini, saya mula terima banyak e-mel dari syarikat yang mahu berkolaborasi.

"Mereka tidak semestinya bayar dengan duit, tapi mereka akan hantar pakaian percuma,” jelasnya.

Lama-kelamaan, pakaian-pakaian tersebut terkumpul dalam jumlah yang banyak.

Kebanyakan daripadanya hanya digunakan sekali dan tidak lagi relevan apabila trend berubah.

Dari media sosial ke kilang tekstil

Agensi mendedahkan bahawa pakaian lebihan termasuk pakaian dari negara Barat, dihantar ke India untuk dijual semula atau diproses di kilang.

Di bandar Panipat, Haryana, lebih 250 tan pakaian terpakai tiba setiap hari.

Pakaian yang tidak sesuai untuk dijual semula akan diubah suai menjadi produk lain seperti karpet, kusyen dan kain pembalut.

Namun, proses ini bukanlah bebas masalah. Ia menggunakan bahan kimia toksik dan menghasilkan habuk mikroplastik yang membahayakan kesihatan pekerja.

Salah sebuah kilang di bandar Panipat yang menguruskan pakaian terpakai. — Agensi

Risiko kesihatan dan pencemaran alam

Dalam dokumentari sama, beberapa pekerja kilang mendedahkan kesukaran yang mereka hadapi.

Mandu, petugas yang sudah bekerja lebih 10 tahun dalam unit pemprosesan pakaian kini menghidap penyakit paru-paru kronik.

Beliau tidak lagi mampu bekerja dan terpaksa mendapatkan rawatan jangka panjang.

Walaupun undang-undang India menetapkan keperluan keselamatan pekerja, banyak kilang tidak mematuhinya.

Di Haryana sahaja, industri tekstil menyumbang lebih 60 peratus air buangan tercemar yang dilepaskan ke sungai seperti Sungai Yamuna. Ini menjejaskan kesihatan komuniti tempatan dan ekosistem sekitar.

Fast fashion dan kos tersembunyi

Fesyen pantas terus berkembang. Di India, pertumbuhannya dianggarkan antara 30 peratus sehingga 40 peratus antara 2023 dan 2024.

Ribuan rekaan baharu dilancarkan setiap hari oleh pelbagai jenama. Ini menyebabkan pengguna termasuk pencipta kandungan, berlumba-lumba untuk kelihatan sentiasa relevan.

Sebahagian besar pakaian ini diperbuat daripada polyester dan bahan sintetik lain yang tidak mudah terurai.

Sekitar 60 peratus pakaian moden dihasilkan menggunakan bahan berasaskan plastik, menjadikan industri fesyen antara penyumbang utama kepada pencemaran mikroplastik di lautan dan tanah.

Pilihan bijak untuk masa depan

Trend memakai pakaian sekali untuk kandungan digital kini bukan sahaja isu gaya, tetapi juga isu kelestarian.

Walaupun ada yang menyumbangkan atau menjual semula pakaian mereka, sebahagian besar tetap berakhir di tapak pelupusan atau kilang yang mencemarkan.

Pengguna khususnya pempengaruh dan pencipta kandungan disaran agar lebih bertanggungjawab.

Amalan seperti menyewa, berkongsi atau mengulang pakai bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran, malah memberi kesan positif terhadap alam sekitar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram