Paksi pasaran fesyen sedang beralih, pengguna berubah selera kepada jenama separa mewah


  • Gaya
  • Selasa, 03 Jun 2025

Jenama 'fast fashion' turut bergelut dengan pertumbuhan perlahan dan jualan yang tidak menepati sasaran. - Freepik

JENAMA mewah kini semakin hilang daya tarikannya apabila pengguna mula mempersoalkan harga yang terlalu tinggi. 

Sebaliknya, jenama peringkat pertengahan yang menawarkan kualiti setanding dengan harga lebih berpatutan semakin menjadi pilihan ramai terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

BACA LAGI: Sudah diet, bersenaman tapi perut masih buncit? Ketahui 9 punca 'belly fat' ramai terlepas pandang

BACA LAGI: Tak sangka pencinta buku fizikal ada 7 tabiat unik, jarang dimiliki orang lain terutama 'point' nombor 2

Jenama pertengahan seperti Coach milik Tapestry Inc. semakin mencuri perhatian dengan beg tangan Tabby yang berharga sekitar RM2,107. 

Beg itu menjadi tular di media sosial kerana dianggap berbaloi untuk dimiliki dan membolehkan seseorang tampil bergaya tanpa perlu mengeluarkan wang yang terlalu banyak.

Menurut Ketua Barangan Mewah Euromonitor International, Fflur Roberts, semakin ramai pengguna mula mempersoalkan nilai sebenar sesuatu barangan mewah.

Katanya, pengguna kini lebih bijak dan mahu tahu cara sesuatu produk dihasilkan serta sama ada harganya berpadanan dengan kualiti.

Akibat perubahan itu, jenama pertengahan pula menjadi pilihan ramai dan menunjukkan peningkatan jumlah pembeli. 

Tapestry bukan sahaja mencatat jualan yang mengatasi jangkaan, malah turut menaikkan unjuran kewangan tahunan. 

Jenama lain seperti Michael Kors, Hugo Boss serta jenama premium sukan seperti Salomon dan Arc’teryx juga menunjukkan pertumbuhan positif.

Ralph Lauren pula mencatat peningkatan jualan sebanyak 13 peratus bagi suku pertama tahun ini dan hampir dua kali ganda daripada apa yang dijangka penganalisis. 

Rekaan klasik dan julat harga yang pelbagai dilihat membantu jenama itu kekal relevan.

Sebaliknya, syarikat mewah lain seperti Hermes, Chanel dan pemilik Gucci iaitu Kering SA pula mencatat prestasi yang menurun dalam laporan kewangan baru-baru ini.

Jenama fesyen pantas (fast fashion brands) juga tidak terkecuali menerima kesan. 

Zara, H&M dan Primark kini bergelut dengan pertumbuhan perlahan dan jualan yang tidak menepati sasaran. 

JD Sports pula mencatat penurunan jualan sebanyak 2 peratus dan dijangka terus menurun.

Faktor tarif dan tekanan kos juga mengehadkan ruang untuk jenama-jenama itu menarik pelanggan dengan tawaran nilai.

Uniqlo juga mendapati bahawa keuntungan masa depan mungkin terjejas, manakala H&M mungkin terpaksa menaikkan harga iaitu sesuatu yang boleh menyebabkan pelanggan terus menjauh. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram