'Dreamland', kediaman futuristik Alicia Keys, Swizz Beatz lambang cinta, impian


  • Hias
  • Isnin, 14 Jul 2025

Alicia Keys dan Swizz Beatz menikmati kediaman impian mereka, Dreamland, yang terletak di atas tebing indah La Jolla, California.

BAYANGKAN sebuah rumah yang kelihatan seperti datang dari masa depan, tersergam indah di atas tebing tinggi menghadap Lautan Pasifik, dikelilingi kaca jernih dari lantai ke siling dan dipenuhi karya seni ikonik dari seniman-seniman kulit hitam seluruh dunia.

Di sinilah bermulanya kisah Dreamland, kediaman mewah pasangan selebriti Alicia Keys dan Swizz Beatz yang dibeli pada 2019 dengan harga sekitar RM94 juta (USD20 juta).

Rekaan rumah itu bukan biasa-biasa kerana ia hasil kerja arkitek terkenal Wallace E. Cunningham, yang popular dengan gaya moden futuristik.

BACA LAGI: Mahu putuskan hubungan sebab tak serasi? Cara terbaik 'reject' si dia tanpa mengecilkan hati

BACA LAGI: [VIDEO] Hadir berkostum Superman di parti hari jadi, usaha Syed Saddiq tambat hati anak Bella Astillah

Malah, ramai peminat filem Marvel percaya rumah ini mengilhamkan rekaan rumah Tony Stark dalam filem Iron Man.

Dibina di kawasan elit La Jolla, California, rumah itu dikenali sebagai "Razor House", dinamakan sempena Razor Point Trail berdekatan.

Namun selepas berpindah masuk, Alicia dan Swizz memberikan rumah itu nama baharu iaitu Dreamland.

Ia simbol mencerminkan impian dan aspirasi yang akhirnya menjadi nyata selepas lapan tahun hanya menjadi gambar latar pada skrin komputer Swizz Beatz.

Ramai peminat filem Marvel percaya rumah ini mengilhamkan rekaan rumah Tony Stark dalam filem Iron Man.

Dengan keluasan lebih 11,500 kaki persegi, rumah itu menempatkan enam bilik tidur dan lapan bilik air, bersama ruang tamu terbuka, bilik hiburan, studio rakaman peribadi dan bahkan sebuah pawagam kecil.

Tangga terapung, teres atas bumbung, kolam infiniti dan garaj bawah tanah melengkapkan gaya hidup mewah yang minimalis penuh jiwa.

Ruangan rumah itu diolah oleh pereka dalaman Kelly Behun, dengan pendekatan mesra keluarga, hangat dan bertekstur lembut, jauh dari imej sejuk rumah moden biasa.

Gabungan kayu semula jadi, fabrik shearling, permaidani Maghribi dan kemasan lembut menjadikan Dreamland terasa seperti pelukan hangat selepas hari yang panjang.

Dreamland menempatkan enam bilik tidur dan lapan bilik air, bersama ruang tamu terbuka, bilik hiburan, studio rakaman peribadi dan sebuah pawagam kecil.

Salah satu identiti utama Dreamland ialah koleksi seninya yang luar biasa.

Swizz dan Alicia merupakan pengumpul seni tegar, khususnya karya artis kulit hitam dari benua Afrika dan Amerika.

Nama-nama besar seperti Jean-Michel Basquiat, Kehinde Wiley, Lynette Yiadom-Boakye, Barkley L. Hendricks dan Derrick Adams menghiasi dinding rumah mereka.

Bahkan mereka memiliki koleksi foto Gordon Parks terbesar secara persendirian, ia sesuatu yang sangat menyentuh hati Alicia kerana hubungannya dengan karya-karya Parks sejak kecil.

Menurut pasangan itu, setiap karya yang dipilih bukan hanya kerana nilainya, tetapi kerana cerita dan emosinya.

"Kami tidak hanya membeli seni. Kami membina hubungan dengan seniman," ujar Swizz dalam satu temu bual.

Alicia dan Swizz memperlihatkan bahawa rumah bukan sekadar struktur fizikal tetapi ruang emosi dan spiritual.

Bagi Alicia, rumah itu bukan sekadar tempat berehat, tetapi satu ruang suci untuk menginspirasi

Dari ruang kerja hingga ke studio rakaman, setiap sudut rumah membenarkan cahaya semula jadi dan pemandangan laut memasuki kehidupan seharian.

Malah, inspirasi untuk banyak lagu dan projek datang dari suasana pagi di tebing La Jolla ketika saat dia melihat paraglider meluncur bebas di langit.

Dreamland juga menjadi tuan rumah kepada pelbagai perjumpaan kreatif seperti makan malam seni, bengkel ke pelancaran projek impak sosial.

Ia menjadi tempat pertemuan artis, pemikir dan pencipta dari seluruh dunia.

Pasangan itu bukan sahaja mengumpul seni, mereka turut menyokong seniman melalui inisiatif seperti No Commission Art Fair dan Dreamland Residency di Arizona.

Mereka menggerakkan perubahan dengan menjadikan seni lebih inklusif, lebih mudah diakses, dan lebih diraikan.

Alicia dan Swizz memperlihatkan bahawa rumah bukan sekadar struktur fizikal tetapi ruang emosi dan spiritual. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram