
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi mencuri tumpuan orang ramai di media sosial.
Kali ini bukan di pentas politik, tetapi di majlis sambutan hari jadi anak kepada selebriti tanah air, Bella Astillah.
Menerusi satu video tular di TikTok, kelibat Syed Saddiq hadir lengkap dengan kostum Superman nyata mengejutkan ramai tetamu.
BACA LAGI: Mahu putuskan hubungan sebab tak serasi? Cara terbaik 'reject' si dia tanpa mengecilkan hati
Penampilannya itu bukan sekadar hiburan, malah dilihat sebagai satu usaha simbolik untuk menyantuni dan mendekati anak lelaki Bella, Ayden Adrean yang menyambut ulang tahun kelapan baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung hujung minggu lalu itu turut meraikan adik kepada Ayden, Ara Adreanna, yang genap lima tahun.
Bertemakan gabungan 'superheroes' dan animasi popular 'Lilo & Stitch', suasana majlis dihiasi dengan kostum pelbagai warna dari konsep tropika sehinggalah ke wira adiwira seperti Iron Man dan Superman.
Syed Saddiq muncul dengan gaya berani sebagai Superman, manakala Ayden pula tampil sebagai Iron Man lalu mencetuskan momen comel antara kedua-duanya.
Mereka sempat bergambar bersama tetamu dan ahli keluarga lain, termasuk Bella yang mengenakan gaun luau sedondon dengan anak perempuannya.
Namun di sebalik keseronokan itu, apa yang lebih mencuri perhatian ialah reaksi orang ramai terhadap usaha Syed Saddiq.
Ramai yang memuji usahanya untuk menyertai majlis kanak-kanak, apatah lagi sanggup mengenepikan imej formal sebagai ahli politik demi meraikan anak-anak yang masih kecil.
"YB sanggup ketepikan imej politik demi kebahagiaan anak-anak Bella. Mana nak cari lelaki macam ni sekarang?" tulis seorang pengguna TikTok.
Malah ada juga yang melihatnya sebagai usaha penuh makna untuk mengambil hati Ayden yang sebelum itu sempat menjadi perhatian apabila dikatakan masih belum begitu rapat dengan Syed Saddiq.
"Respect betul dengan usaha dia. Nampak Ayden pun selesa dan gembira. Bella dan keluarga pun nampak gembira."
Tidak kurang juga yang terhibur melihat sisi berbeza bekas menteri belia dan sukan itu.
"Tak sangka dia jadi Superman. Ini baru betul Superman untuk keluarga."
Walaupun masih belum ada pengesahan rasmi mengenai hubungan Syed Saddiq dan Bella, kemesraan dan keterbukaannya bersama anak-anak Bella terus menguatkan spekulasi orang ramai bahawa hubungan mereka semakin serius. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram