
RAMAI wanita cenderung menjadikan kekayaan sebagai ukuran utama dalam memilih pasangan hidup.
Lelaki berpendapatan tinggi, memiliki kereta mewah dan mampu berbelanja besar sering dianggap sebagai jaminan kebahagiaan dalam rumah tangga.
Namun, kekayaan bukanlah penentu utama kebahagiaan rumah tangga, sebaliknya sikap rajin berusaha dan kesanggupan seorang lelaki untuk memberikan keselesaan kepada pasangannya jauh lebih penting.
Itu pandangan bagi seorang pengguna media sosial, Syifazabriel menerusi satu hantaran di platform Threads yang meraih perhatian ramai.
“Perempuan takkan mati kahwin dengan lelaki miskin yang rajin berusaha, tetapi hidup perempuan boleh hancur kalau hidup dengan lelaki yang pemalas," katanya.
BACA LAGI: Elak gangguan halus dan haiwan liar, ketahui cara betul urus uri selepas bayi lahir
Beliau berkongsi kisah ibu bapanya yang membuktikan bahawa kebahagiaan rumah tangga bukan semata-mata bergantung pada harta, sebaliknya bergantung kepada kesungguhan seorang lelaki untuk berusaha.
“Dulu, ayah saya orang biasa saja. Tapi dia rajin usaha sampailah sekarang hidup kami sekeluarga senang. Alhamdulillah,” tulisnya.
Beliau turut menekankan bahawa wanita tidak perlu memburu lelaki kaya semata-mata, sebaliknya cukup memilih pasangan yang rajin dan sanggup berpenat lelah demi individu yang disayangi.
Namun begitu, katanya, sifat rajin itu bukan datang secara tiba-tiba, tetapi perlu dipupuk sejak kecil.
Sebagai anak sulung daripada 15 adik-beradik, beliau menyaksikan sendiri bagaimana ibunya mendidik semua anak tanpa mengira jantina untuk terbiasa dengan kerja rumah.
“Mak saya ajar semua anak masuk dapur, tak kira lelaki atau perempuan.
"Sebab itu majoriti adik-beradik lelaki saya pandai memasak, mengemas dan tak berkira. Mereka ikut contoh yang ditunjukkan oleh abang dan kakak," katanya.
Tidak hanya dalam keluarga sendiri, Syifa turut memuji sikap pasangannya yang turut rajin membantu di rumah iaitu satu hasil didikan keluarga yang turut menitikberatkan tanggungjawab anak lelaki di rumah.
"Alhamdulillah, dikurniakan partner yang rajin membantu juga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram