[VIDEO] Usahawan Kelantan didesak mohon maaf, hina orang kampung sendiri 'jakun' 


  • Tular
  • Isnin, 14 Jul 2025

Tangkap layar Fahdi didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada penduduk Kelantan.

SEORANG usahawan berasal dari Kelantan, Fahdi Ghazali mencetuskan kemarahan warganet selepas tular satu klip video yang memaparkan dirinya memperlekehkan orang senegerinya dengan menyifatkan mereka sebagai 'jakun'.

Dalam video berdurasi kurang satu minit itu, Fahdi didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang ketika bercakap mengenai sambutan masyarakat Kelantan terhadap sesuatu program atau produk. 

Kenyataan sensitif yang dibuat oleh Fahdi itu berlaku ketika dia bertemu dengan salah seorang pengunjung di sebuah festival makanan yang mengetengahkan beberapa produk tempatan terkenal. 

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal tak boleh diduga, warga emas maut ketika hiburkan tetamu majlis kahwin di Bengkulu

BACA LAGI: [VIDEO] Bebola api meletus lepas pesawat kecil terhempas, lapangan terbang di London terpaksa ditutup sementara

"Orang Kelantan ini dia jakun sikit. Benda-benda pelik ini dia akan datang. Petang ini akan lebih ramai (orang Kelantan) datang. Kelantan ini lubuk-lubuk," katanya dalam video yang dimuat naik pada TikTok miliknya pada Ahad. 

Kenyataan itu mendapat reaksi negatif dalam kalangan orang ramai khususnya rakyat Kelantan susulan kata-kata tersebut sebagai tidak sensitif dan menghina komuniti sendiri lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada individu yang berasal dari negeri itu.

Untuk info, jakun membawa dua maksud. Yang pertama ialah suku Jakun atau Orang Ulu/Orang Hulu (bermaksud 'orang dari hulu') merupakan kumpulan etnik diiktiraf sebagai Orang Asli di Semenanjung Malaysia. 

Manakala, jakun dimaksudkan dalam video berkenaan pula mengenai perkataan jakun yang membawa maksud dalam keadaan hairan atau pelik.

Menjengah respons warganet Malaysia di media sosial, kebanyakannya tampil menyuarakan rasa kesal dan mendesak Fahdi supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penduduk negeri Kelantan. 

"Dia pun orang Kelantan, jakun itu sebenarnya dah sensitif. Memanglah orang rasa nak marah," kata warganet di Facebook, Red Hunter.

"Jenis tak sayang mulut, jangan buat begitu dengan orang kampung sendiri," komen warganet, Zul Kifli. 

Sehingga kini, Fahdi yang juga merupakan mentor perniagaan itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas atau permohonan maaf berhubung isu tersebut. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram