Nurul Izzah pertahan remaja lapor gangguan seksual 'ustaz selebriti', janji bawa keadilan hingga penghujung


  • Maya
  • Isnin, 14 Jul 2025

Nurul Izzah berikrar mempertahankan mangsa gangguan seksual hingga ke akhir. — Facebook/Nurul Izzah Anwar

AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tampil menyuarakan sokongan penuh terhadap seorang remaja perempuan yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pendakwah selebriti terkenal.

Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu lalu, beliau mendedahkan secara terperinci insiden menyayat hati dialami oleh remaja berkenaan.

Mangsa pada asalnya hanya ingin mendalami ilmu agama dan mengembangkan bakat dalam bidang nasyid.

BACA LAGI: 'Jual pada terdesak', Zeeda Aziz bidas taktik eHati, seru wanita lebih waspada

BACA LAGI: Hantaran eksklusif berjiwa seni, gubahan inspirasi kisah cinta, impian pasangan raja sehari

"Pada usia yang mentah, hadir seorang tokoh agama yang kononnya ingin membimbing. Tapi niatnya rupanya berbeza.

"Dia gunakan minat adik ini terhadap nasyid sebagai helah mendekati," kata Izzah dalam perkongsian tersebut.

Insiden dikatakan bermula apabila remaja tersebut diajak oleh individu berkenaan ke sebuah negeri lain atas alasan menghadiri persembahan nasyid.

Tanpa rasa curiga, mangsa menurut kerana percaya dengan keperibadian dan imej 'ustaz' yang selama ini dihormati masyarakat.

Namun, semuanya berubah apabila suspek didakwa mengambil kesempatan ketika mereka berada di bilik hotel.

"Ustaz itu mula masukkan tangan dia dalam seluar adik dan meraba-raba," kata Nurul Izzah memetik pengalaman mangsa yang ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa selain menyorok dalam bilik air selama lima jam.

Menurut beliau, gadis itu akhirnya berjaya melarikan diri dan segera menghubungi keluarganya.

Laporan polis telah dibuat serta-merta selepas kejadian tersebut.

Namun apa yang lebih menyedihkan, menurut keluarga remaja berkenaan, mereka turut dimaklumkan bahawa terdapat beberapa laporan terdahulu terhadap suspek sama, namun tiada tindakan tegas diambil setakat ini.

"Kenapa pemangsa ini masih bebas dan terus menggunakan gelaran 'ustaz' untuk meneruskan kejahatannya?" soal Nurul Izzah, meluahkan rasa kecewa terhadap sistem yang didakwa gagal melindungi golongan rentan.

Lebih menekan, keluarga tersebut yang berasal daripada latar belakang B40 kini pula berdepan tekanan apabila suspek memfailkan saman fitnah bernilai ratusan ribu ringgit terhadap mereka.

Antara tuntutan termasuk permohonan maaf secara terbuka melalui saluran media.

Kata Nurul Izzah, keluarga itu bukan hanya diuji dengan trauma, malah kini terpaksa memikul beban kewangan dan emosi yang sangat berat.

Remaja yang bercita-cita mahu menjadi guru kini perlu menjalani sesi kaunseling dan rawatan secara berterusan, selain prestasi akademiknya terjejas teruk.

Meskipun diuji, keluarga mangsa kekal teguh, begitu juga Nurul Izzah.

"Saya tidak akan berundur walau selangkah. Kalau mereka mahu saman, saya akan lawan. Saya akan pastikan adik ini dilindungi dan keadilan akhirnya berpihak kepada yang benar, InsyaALLAH," tegas beliau.

Nurul Izzah turut menyeru orang ramai agar tidak takut bersuara dan memberikan sokongan kepada mangsa-mangsa gangguan seksual, terutama apabila pelaku berselindung di sebalik imej beragama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram