
SEBUAH keluarga sepatutnya menjadi tempat berteduh iaitu ruang paling selamat untuk anak membesar dengan kasih sayang, perhatian dan rasa cukup.
Namun, apabila cinta dan keperluan emosi tidak dipenuhi, seorang anak boleh membesar dengan luka yang sukar dipulihkan.
Bagi seorang pengguna laman Threads, Yusranadhanin, pengalaman hidupnya yang penuh keperitan akibat kemiskinan dan pengabaian daripada seorang bapa telah menjadi luka besar yang masih belum sembuh.
BACA LAGI: Elak gangguan halus dan haiwan liar, ketahui cara betul urus uri selepas bayi lahir
BACA LAGI: Penapis air RO mudaratkan tubuh, pakar dedah risiko kekurangan mineral penting yang ramai tak sedar
Yusranadhanin berkongsi kisah hidupnya yang dibelenggu kemiskinan sejak kecil bukan kerana tiada pendapatan, tetapi kerana ketagihan arwah ayah terhadap ketum, ganja dan aktiviti perjudian.
“Aku benci jadi orang miskin” tulisnya dalam hantaran yang kini tular.
Menurutnya, sejak berusia sembilan tahun, dia sudah terpaksa berjalan kaki pulang dari sekolah kerana yuran van tidak dibayar.
Ketika di sekolah menengah pula, dia tidak pulang bercuti kerana yuran asrama tertunggak dan terpaksa bekerja sambilan di sebuah kedai makan berhampiran sekolah.
Lebih menyedihkan, selepas menamatkan peperiksaan SPM, dia tidak dapat mengambil sijil kerana tunggakan yuran yang belum dijelaskan.
Dia akhirnya melunaskan sendiri hutang tersebut selepas bekerja sambilan ketika cuti semester.
"Ayah aku bekerja, tapi semua duit habis pada ketum, ganja dan nombor ekor. Aku sendiri yang kena selesaikan semua hutang dia," tulisnya lagi.
Selepas kematian kedua ibu bapanya, beban yang ditinggalkan tidak berakhir.
Menurutnya, pihak bank dan agensi pinjaman tetap menuntut bayaran hutang meskipun dia bukan penjamin dan tidak pernah menandatangani sebarang dokumen pinjaman.
"Hutang memang tak dibawa mati, tapi kapitalisme akan cari orang yang masih hidup. Mereka tak peduli siapa yang tinggal. Mereka hanya mahu duit," luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, luahan tersebut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warga maya yang rata-rata bersimpati dan memahami kesakitan yang ditanggung individu terbabit.
Manakan tidak, anak yang membesar tanpa kasih sayang yang cukup daripada keluarga mampu mengundang penderitaan terutama daripada sudut emosi.
“Masalah bukan miskin. Tapi miliki mentaliti yang miskin. Kalau bagi RM1 juta pun, tetap habis pada benda sia-sia. Harta kita tak boleh kawal, tapi akal boleh,” tulis Khodijahhamzah.
“Sepatutnya pada umur begitu dia fokus belajar, bukan fikir soal duit. Lagi sedih bila tahu masalah bukan tak ada duit, tapi duit digunakan untuk perkara tak sepatutnya," kata Fieza_arif.
“Miskin tu pilihan. Betullah ayah kamu pilih untuk kekal miskin. Ada orang miskin, tapi jiwa besar dan berusaha supaya anak-anak tak ulang nasib yang sama," kata Nasihin.
Apabila seorang bapa memilih untuk mengabaikan tanggungjawab demi kepuasan sendiri, kesannya bukan hanya terhadap pasangan, tetapi lebih parah kepada anak-anak yang terpaksa menanggung akibatnya seumur hidup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram