
DI sebalik keterujaan menyambut kelahiran cahaya mata, ada satu perkara yang sering terlepas pandang oleh pasangan baharu iaitu tanggungjawab mengurus uri dengan cara yang betul.
Uri yang keluar bersama bayi ketika kelahiran perlu diuruskan dengan cara yang betul bukan hanya untuk menjaga kebersihan tetapi juga sebagai cara menghormati anugerah ciptaan Tuhan.
Seorang pengguna Facebook, Raja Muhd Al-Mahi menarik perhatian ramai apabila berkongsi panduan mudah dan teratur mengenai cara mengurus uri dengan betul khususnya bagi mereka yang bakal menjadi ibu bapa buat kali pertama.
“Yang bakal-bakal jadi ibu bapa tu wajib tahu cara-cara urus uri ni,” tulisnya.
BACA LAGI: Penapis air RO mudaratkan tubuh, pakar dedah risiko kekurangan mineral penting yang ramai tak sedar
BACA LAGI: Kanak-kanak membesar dalam keadaan serba kekurangan cenderung bawa 5 tabiat ini ke alam dewasa
Antara langkah penting yang disarankan termasuklah:
Basuhan awal
Uri perlu dibasuh terlebih dahulu menggunakan air bersih untuk menanggalkan kesan darah yang masih melekat.
Pencucian dengan sabun
Kemudian, cuci uri menggunakan sabun agar bau hanyir yang boleh menarik perhatian haiwan liar hilang sepenuhnya.
Bilas dengan ramuan semula jadi
Selepas itu, bilas uri dengan air rendaman daun limau purut, air limau purut itu sendiri atau asam jawa yang direndam dalam air suam.
Perkara itu dibuat bertujuan menghapuskan bau hanyir darah yang masih tertinggal.
Tabur garam
Garam ditabur pada uri sebagai langkah tambahan untuk menyingkirkan sisa bau yang mungkin masih melekat.
Pembungkusan dan pengebumian
Uri yang telah dibersihkan sebaiknya dibungkus dengan kain bersih sebelum ditanam pada kedalaman sekitar 1.5 kaki.
Di atasnya pula, perlu disendal dengan batu atau objek berat bagi mengelak daripada digali semula oleh haiwan.
Raja Muhd turut menyarankan agar proses mencuci uri juga wajar disertai dengan bacaan doa, seperti selawat atau ayat Kursi sebagai perlindungan daripada gangguan makhluk halus atau haiwan buas.
“Benda ni nampak kecil, tapi penting. Ramai tak tahu. Kalau tak urus betul-betul, takut binatang datang korek atau ada gangguan lain pula,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram