Tudung sarung tapi tak nak nampak 'makcik', ini 3 jenama lokal pilihan hijabi moden


  • Gaya
  • Isnin, 14 Jul 2025

Hegira (kiri) dan Zihaluv antara jenama hijab tempatan yang banyak menawarkan pilihan rekaan tudung sarung. — Instagram/@hegiragroup @zihaluv

BAGI wanita berhijab, memilih tudung yang sesuai untuk gaya harian adalah satu rutin penting.

Ada hari kita mahu tampil bergaya sepenuhnya dan ada juga hari di mana kita hanya mahu cepat dan selesa.

Pada waktu begini, tudung sarung menjadi pilihan utama.

Namun begitu, tudung sarung sering disalah anggap sebagai gaya untuk wanita berusia kerana ia mudah dipakai dan sering digayakan golongan tersebut.

Hakikatnya, ramai wanita muda mengakui tudung sarung ibarat keperluan. Ia adalah item fesyen asas yang wajib ada dalam simpanan kerana sifatnya yang amat praktikal.

Kini, ada beberapa jenama hijab tempatan menjadi tumpuan mereka yang mencari tudung sarung bergaya moden lagi bergaya.

Berdasarkan pemerhatian ramai, tiga jenama berikut berjaya mengubah tanggapan tudung sarung 'macam makcik' dengan menawarkan pilihan yang praktikal, selesa dan tetap menawan.

BACA LAGI: Minum susu mentah ketika hamil, warga maya 'sekolahkan' Nara Smith, bahaya untuk kandungan

BACA LAGI: [VIDEO] Siap boleh 'camping', ibu update perkembangan terbaharu Ainul Mardhiah makin sihat dan ceria

 

1. Hegira

Hegira dikenali dengan tudung sarung yang labuh serta menutupi bahagian dada, sesuai untuk wanita yang mengutamakan kesopanan tanpa mengetepikan gaya.

Ia ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna, sama ada bercorak floral mahupun polos.

Menariknya, terdapat juga rekaan yang menutupi bahagian bawah dagu, menjadikannya pilihan sesuai untuk wanita yang bakal mengerjakan ibadah Haji atau Umrah.

Hegira juga menampilkan rekaan semi-instant yang mana si pemakai masih boleh melilit tudung mengikut cita rasa masing-masing.

 

2. Zihaluv

Jenama Zihaluv menampilkan tudung sarung bersaiz bidang 55 yang menekankan gaya Muslimah moden. Rekaan mereka banyak menampilkan motif yang pelbagai serta menarik.

Menggunakan fabrik lycra yang lembut dan tidak perlu digosok, tudung ini amat sesuai untuk wanita yang mahu bersiap dengan cepat.

Jika anda ingin tampil lebih menonjol, Zihaluv turut menawarkan padanan tudung bercorak dengan bahagian depan polos yang kemas serta menutup bahagian dagu.

3. Sebawang

Sebawang pula terkenal dengan rekaan tudung sarung yang moden dan memudahkan.

Selain pilihan polos yang ringkas, Sebawang juga menawarkan rekaan bercorak bunga.

Beberapa rekaan membolehkan pemakai menyesuaikan lilitan atau gaya tudung mengikut cita rasa dan gaya peribadi masing-masing.

Tudung sarung bukan lagi sinonim dengan penampilan yang kelihatan tua.

Dengan pilihan rekaan yang moden dan pelbagai warna menarik, wanita berhijab kini boleh tampil bergaya, sopan dan selesa pada masa yang sama.

Apa yang penting ialah memilih potongan dan jenama yang sesuai dengan keperibadian anda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram