
AWAL Muharam bukan sekadar permulaan tahun baharu dalam kalendar Islam, tetapi juga simbol kepada hijrah, iaitu perubahan menuju kehidupan yang lebih baik dan mendekatkan diri kepada-NYA.
Walaupun perjalanan hijrah tidak semestinya berlaku dalam bulan Muharam, namun azam yang dibawa tetap sama dengan keinginan untuk memperbaiki diri dan mendekatkan hati kepada Tuhan.
Berkecimpung dalam dunia hiburan, semestinya kehidupan sering dikelilingi dengan kamera, tuntutan untuk tampil bergaya dan pergaulan yang agak bebas.
Justeru, tidak mudah untuk melangkah keluar dari rutin glamor demi mencari erti yang lebih mendalam dalam kehidupan.
BACA LAGI: 'Sweet' dan santai, gaya 'airport' selebriti K-pop jadi ikutan peminat Malaysia
Namun, empat selebriti wanita ini perlahan-lahan membina perjalanan baharu, ada yang mula mendekatkan diri kepada agama, menyertai kelas ilmu dan memilih penampilan lebih tertutup tanpa sepenuhnya meninggalkan kerjaya seni.
Nora mula 'berhijrah' Julai tahun lalu dan kini semakin aktif menghadiri majlis ilmu agama. — Instagram/@noradanish
1. Nora Danish
Pelakon, Nora Danish yang mula berhijab pada Julai tahun lalu, melalui fasa perubahan diri menjelang usianya yang ke-40.
Dedahnya melalui satu pod siar, hatinya mula terusik apabila melihat wanita bertudung dan individu yang kelihatan tenang dengan kehidupan berlandaskan agama.
Perasaan itu mendorongnya untuk mendekati ilmu agama, termasuk mengikuti kelas tadabbur yang dianjurkan oleh rakan selebriti, Betty Rahmad.
Sehingga kini, wanita berusia 43 tahun itu aktif menyertai kelas-kelas agama bersama rakan-rakan selebriti lain.
Ozlynn Wati mula berhijab sekitar Julai 2024 selepas pulang menunaikan haji dan kini selesa dengan penampilan sederhana. — Instagram/@jozlynnhanania
2. Ozlynn Waty
Seiring waktu yang sama, pelakon, Ozlynn Waty yang juga isteri kepada pelawak, penyampai radio, Johan, turut mengambil langkah serupa selepas pulang dari mengerjakan ibadah haji.
Beliau menyifatkan, panggilan haji itu merupakan panggilan terakhir dari ALLAH dan tekad untuk berhijab.
Sejak Julai lalu, ibu kepada enam orang anak itu kekal istiqamah dalam penampilan berhijab, sekali gus memberi inspirasi kepada ramai peminat yang melihat perubahan ini sebagai satu penghijrahan rohani, bukan sekadar perubahan gaya.
3. Fasha Sandha
Seorang lagi figura yang kini tampil berhijab ialah Fasha Sandha.
Meskipun belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perubahannya, sejak Januari lalu, pelakon berusia 41 tahun tersebut dilihat konsisten mengenakan hijab dalam setiap penampilannya.
Baru-baru ini, beliau menerima Pingat Jasa Baik (PJB) daripada Kerajaan Negeri Perlis sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran bersempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis yang berlangsung di Istana Arau pada Khamis.
Penganugerahan tersebut diberikan kepada individu yang menunjukkan khidmat bakti luar biasa dalam masyarakat atau bidang kerjaya masing-masing.
Pada majlis penuh istiadat itu, Fasha tampil anggun mengenakan busana rona ungu lembut dipadankan dengan hijab merah jambu pastel, sekali gus menyerlahkan penampilan sopan dan elegan seiring dengan imej terkininya.
4. Betty Rahmad
Sementara itu, usahawan dan pelakon, Betty Rahmad, 44, sudahpun memulakan penghijrahannya sejak 2021.
Dalam satu temu bual, beliau mengakui pernah merasakan sukar untuk menyesuaikan gaya dengan tudung. Namun selepas mengambil keputusan berhijab, persepsinya berubah sepenuhnya.
Kini, Betty aktif berkongsi perjalanan hijrahnya di media sosial, termasuk rutin mengaji dan penglibatannya dalam kelas-kelas agama.
Beliau turut menganjurkan kelas tadabbur di kediamannya serta menyertai kelas bersama rakan-rakan selebriti lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram