
TUDUNG potongan segi empat sama atau lebih dikenali sebagai tudung bawal bukan sekadar helaian kain, sebaliknya menjadi lambang keanggunan, ekspresi diri dan kreativiti wanita Malaysia yang sentiasa bereksperimen dengan gaya.
Daripada warisan tradisi, tudung bawal kini bertransformasi menjadi simbol gaya hidup moden yang praktikal, bergaya dan versatil untuk pelbagai acara, sama ada untuk penampilan kasual harian mahupun majlis istimewa.
Perkembangan industri tudung tempatan turut menyaksikan kemunculan pelbagai jenama dengan pendekatan tersendiri.
Ada yang mengetengahkan motif floral yang lembut dan feminin, manakala ada juga yang memilih gaya minimalis dengan rekaan polos serta potongan kemas.
BACA LAGI: Anak sesak nafas lepas jualan kek batik, Wawa Zainal mohon ampun, khuatir terkena penyakit 'Ain'
BACA LAGI: [VIDEO] Macam filem 3 Abdul, tiga beradik kahwin serentak kongsi mentua sama
Enam jenama tudung bawal pilihan Majoriti berikut bukan sahaja menyerlahkan penampilan, malah menyuntik keyakinan kepada si pemakai.
Dari rekaan polos ke motif floral, Tudung Ruffle terus menjadi pilihan wanita pelbagai usia. — Instagram/@tudungruffle
1. Tudung Ruffle
Jenama Tudung Ruffle yang mula diperkenalkan pada tahun 2014 berjaya membina reputasi sebagai nama yang konsisten dalam menghasilkan rekaan tudung bawal yang digemari ramai.
Bermula dengan koleksi polos, jenama tersebut kini hadir dengan motif floral halus dalam pilihan warna pastel serta tona yang lebih berani.
Material yang selesa dan mudah digayakan menjadikan jenama ini pilihan pelbagai peringkat usia, daripada pelajar hingga wanita bekerjaya.
2. Top Hijab
Jenama Top Hijab memperkenalkan konsep praktikal menerusi rekaan tudung bawal ‘instant’, iaitu tudung yang boleh terus disarung tanpa memerlukan pin atau lilitan rumit.
Walaupun popular dalam kalangan pengantin yang mencari gaya ringkas namun elegan, jenama ini mengekalkan pendekatan minimalis dengan rekaan polos yang mudah dipadankan dengan pelbagai jenis busana.
3. Pizza Scarf
Sama seperti Top Hijab, Pizza Scarf turut menjadi pilihan utama dalam kalangan pengantin. Jenama ini memberi tumpuan kepada penggunaan fabrik berkualiti tinggi dan potongan yang kemas.
Nama Pizza Scarf diinspirasikan daripada potongan tudung yang menyerupai hirisan pizza, memberi ruang kepada si pemakai untuk memilih panjang labuh yang diinginkan.
Struktur tudung yang rapi serta jahitan yang teliti menjadikannya sesuai digayakan dalam pelbagai suasana, sama ada santai atau formal.
Sentuhan peribadi Asyallie dalam setiap koleksi menjadikan jenamanya sering tular di media sosial. — Instagram/@asyallieegroup
4. Asyalliee
Diasaskan oleh personaliti media sosial Asyalliee Ahmad, jenama Asyalliee memperkenalkan rekaan tudung bawal bermotif floral dan geometri yang unik.
Koleksinya menampilkan pilihan warna neutral dan rona merun yang elegan.
Pendekatan pengasasnya yang sering berkongsi proses rekaan di sebalik tabir turut menyumbang kepada populariti jenama ini di platform digital.
Tidak hairanlah koleksi mereka kerap menjadi tular dalam kalangan pengikut setia.
5. Zoe Arissa
Jenama Zoe Arissa mengekalkan identiti minimalis yang menjadi DNA syarikat, namun tetap menyelitkan unsur corak floral dalam beberapa koleksi tudung bawalnya.
Penggunaan fabrik ringan dan warna-warna lembut menjadikan koleksi ini sesuai untuk gaya kasual harian mahupun urusan kerja.
Menariknya, tudung bawal Zoe Arissa turut dipasarkan di rangkaian kedai D.I.Y., sekali gus menyediakan pilihan bergaya pada harga mampu milik untuk wanita dari pelbagai latar belakang.
Strategi pemasaran Harirose berjaya menarik perhatian generasi muda, khususnya Gen Z. — Instagram/@iniharirose
6. Harirose
Sebagai jenama baharu yang pantas meraih perhatian di media sosial, Harirose mengetengahkan rekaan tudung bawal yang penuh ekspresi dan keberanian.
Koleksinya menampilkan motif floral berskala besar dengan gabungan warna terang dan berani, menarik perhatian generasi muda yang gemar tampil berbeza.
Vibe ala vintaj serta strategi pemasaran yang kreatif menjadikan jenama ini semakin mendapat tempat khususnya dalam kalangan Gen Z. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram