
SEORANG model dan pempengaruh menerima kecaman selepas berkongsi video dirinya meminum susu mentah sebulan selepas mengumumkan kehamilan keempatnya.
Nara Smith, 23, merakam proses menyediakan biskut kayu manis sebagai snek lewat malam untuk dikongsi bersama suaminya yang juga model, Lucky Blue Smith.
Dalam video yang dimuat naik pada 26 Jun lalu itu, Nara turut memaklumkan bahawa mereka menikmati biskut itu bersama minuman yang dianggap berisiko untuk diminum.
BACA LAGI: [VIDEO] Sentuh kelopak bunga sebelum masuk rumah ibarat terapi buat Nabila hilangkan tekanan
BACA LAGi: Hantaran eksklusif berjiwa seni, gubahan inspirasi kisah cinta, impian pasangan raja sehari
"Selepas biskut siap dibakar, kami biarkan ia sejuk di atas rak sebelum dituangkan aising.
"Walaupun saya bukan peminat biskut, kali ini memang sedap dimakan dengan susu mentah yang sejuk," katanya dalam video tersebut.
Untuk info, susu mentah ialah susu yang belum dipasteur.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) serta Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) di Amerika Syarikat (AS), proses pempasteuran sangat penting kerana ia membunuh kuman berbahaya yang boleh menyebabkan penyakit, terutamanya dalam kalangan golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan wanita hamil.
Proses tersebut melibatkan pemanasan susu pada suhu tertentu dalam jangka masa tertentu.
Ia mampu membunuh bakteria yang menyebabkan penyakit seperti listeriosis, demam kepialu, batuk kering, difteria dan lain-lain.
Susulan itu, ramai warga maya meninggalkan komen membantah tindakan Nara yang minum susu mentah ketika sedang mengandung.
"Susu mentah? Ketika hamil? Secara umumnya pun tak elok, apatah lagi dalam keadaan sekarang," tulis seorang pengguna.
"Saya seorang jururawat. Tolong jangan minum susu mentah yang tak dipasteur! Bahaya untuk awak, bayi dan anak-anak!" tegas seorang lagi pengguna.
"Minum susu mentah masa mengandung memang tidak boleh diterima. Mengapa tidak pasteurankan dahulu?" kata pengguna lain.
Bagaimanapun, sehingga kini, Nara masih belum memberikan sebarang kenyataan balas terhadap kritikan yang diterimanya.
Buat yang tidak mengenali sosok wanita tersebut, beliau ialah seorang pempengaruh media sosial dan model yang sering berkongsi rutin memasak serta kehidupan keluarganya di TikTok.
Beliau berkahwin dengan model terkenal Lucky Blue Smith dan kini sedang menantikan kelahiran anak keempat mereka.
Gaya hidup dan kandungan videonya memaparkan penyediaan makanan secara semula jadi sering menarik perhatian ramai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram