
DALAM dunia yang semakin rancak dengan kemunculan teknologi baharu, kehadiran syarikat pemula, dan media sosial, ramai tidak sedar bahawa sesetengah jenis perniagaan yang dianggap ‘boring’ atau membosankan sebenarnya semakin mendapat perhatian.
Malah, bisnes yang sering kali dipandang sebelah mata itu juga sering kali memiliki potensi mencatatkan keuntungan besar.
Perniagaan seperti cucian dobi, perkhidmatan paip, pembaikan bumbung, pengurusan sisa, pencucian tangki septik, dan pembekalan bahan mentah merupakan antara jenis perusahaan yang mendapat label tidak cukup glamor.
Namun, di sebalik tanggapan tersebut, perniagaan terbabit lazimnya merupakan perkhidmatan yang sentiasa diperlukan masyarakat tidak kira ketika tempoh ekonomi naik atau turun.
Populariti perusahaan bagaimanapun dikenali sebagai 'boring business' semakin mendapat perhatian di Amerika Syarikat (AS) dalam kalangan anak muda.
Steve (kiri) dan Kristin duduk di dalam treler kediaman mereka sambil melancong. — Agensi
Ketika Nicole Rizzo melihat senarai "Untuk Dijual" bagi syarikat Die Cleaning Equipment, butiran pertama yang disukainya adalah ia dikendalikan pasangan suami isteri.
Nicole, 43, ketika itu sedang mencari syarikat untuk diusahakan bersama suaminya, David.
Bagaimanapun, David berkongsikan kehairanan terhadap nama syarikat yang ingin dibeli mereka itu kerana ia dilihat seperti sebuah syarikat menyediakan perkhidmatan pembersihan.
Mereka kemudiannya mengetahui bahawa operasi syarikat terbabit turut melibatkan aktiviti mengimpal.
Die Cleaning Equipment merupakan syarikat berpengkalan di Phoenix yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Steve Smith dan Kristin.
Ia adalah syarikat yang mengeluarkan mesin yang membersihkan mesin lain khususnya alat pembentuk logam kepada pelbagai bentuk daripada stetoskop, 'bumper' kereta dan sehingga bahagian senjata api.
Sejak awal, pasangan itu membina perniagaan mereka yang cukup 'niche' dengan Steve bertanggungjawab untuk menyelia premis operasinya manakala Kristin mengendalikan aspek kewangan.
Bagaimanapun, ketika suami isteri itu menghampiri usia usia 70-an, mereka kini membuat keputusan untuk mencari kehidupan dengan melakukan perjalanan bersama treler kediamannya.
Langkah itu bermakna mereka perlu menjual perniagaan untuk diusahakan oleh pihak lain.
Pasangan lebih muda seperti Nicole dan David bukanlah pilihan yang jelas kerana kedua-duanya tidak memiliki pengetahuan yang mendalam mengenai logam.
Nicole pernah bekerja bersama kerajaan tempatan manakala David datang daripada latar belakang korporat dalam bidang pertanian.
Namun, lawatan mereka ke premis Die Cleaning Equipment berhampiran lapangan terbang Phoenix memberikan mereka satu keyakinan baharu.
David ketika sedang mengendalikan alat dan kemudahan di premis Die Cleaning Equipment. — Agensi
"Saya melihat mesin dan saya merasakan ini adalah perkara paling hebat pernah saya lihat," kata Nicole.
Pada Jun 2021, pasangan muda itu membeli syarikat terbabit pada harga kira-kira AS$600,000 (RM2.8 juta) dengan Nicole memegang jawatan selaku ketua eksekutif.
Empat tahun kemudian, Nicole dan David berjaya mendapatkan semula pulangan pelaburan mereka.
Kumpulan yang mencari perniagaan untuk dibeli seperti Nicole dan David dilaporkan semakin meningkat di AS.
Sebahagian daripada mereka merupakan generasi yang berusia lingkungan 30-an dan 40-an.
Di BizBuySell, platform penyenaraian popular yang mana Nicole dan David menemui Die Cleaning Equipment, dilapor merekodkan peningkatan aktiviti pembelian sebanyak 42 peratus, iaitu kira-kira dua kali ganda lebih tinggi berbanding 2021.
Sementara itu, hampir satu perempat daripada perniagaan berskala kecil di AS dimiliki oleh orang yang berumur 65 tahun ke atas.
Pendaftaran kursus sekolah perniagaan mengenai "keusahawanan melalui pemerolehan (syarikat)" juga dilaporkan meningkat.
Ia menumpukan terhadap kemahiran membina perniagaan daripada bisnes yang sudah berjaya dengan ia tidak memerlukan seseorang untuk mengambil ijazah sarjana profesional.
Sebilangan besar pempengaruh di YouTube, LinkedIn dan TikTok memberikan mengenai cara "berfikir secara khusus" dan "membeli sesuatu membosankan."
"Orang ramai menyedari bahawa membeli perniagaan adalah cadangan yang kurang berisiko daripada memulakan yang baharu," kata Bob House, presiden BizBuySell.
Dalam kalangan pencari perniagaan, terdapat satu pepatah yang membawa maksud seorang pemiliki baharu perlu terlebih dahulu jatuh cinta dengan ekonomi perniagaan tersebut.
Kemudian, mereka hanya perlu bersedia sebelum mula mencipta minat terhadap aktiviti kerja seharian dan cabaran yang timbul selepasnya.
Brittney Orellano, 39, mula-mula mengetahui tentang fenomena itu pada 2022, melalui temu bual podcast dengan Codie Sanchez , YouTuber yang sering menyiarkan tentang kebaikan memperoleh "perniagaan yang membosankan."
Brittney dan suaminya, Ray, 46, telah membina sebuah syarikat pengurusan hartanah bersama di Kansas City.
Mesin yang berada di premis Die Cleaning Equipment. — Agensi
Bagaimanapun beliau tidak pernah terfikir dirinya boleh membeli perniagaan yang sudah berjaya.
Pencarian dilakukan turut membawanya bertanyakan kepada kenalan dan pekerjanya mengenai sebarang perniagaan yang ingin dijual.
Enam bulan selepas pencarian mereka, pasangan itu memperoleh Radio Controlled Garage Door & Gate pada harga di bawah AS$1 juta (RM4.7 juta), dengan urusan itu dibiayai melalui pinjaman SBA atau Small Business Administration.
Namun, tidak lama kemudian mereka mula mengenal pasti beberapa isu yang tidak disedari pada awalnya.
Penjual syarikat tersebut telah pergi dengan berkotak-kotak rekod jualan fizikal, meninggalkannya tanpa pangkalan data pelanggan.
Selain itu, individu yang digambarkan sebagai "pengurus besar" sebenarnya hanyalah seorang penghantar.
Kenderaan yang diwarisi daripada pemilik asal perniagaan tersebut juga perlu dibaiki.
Namun, hampir dua tahun kemudian, Brittney tidak menyesal dengan keputusan diambil bagi membeli perniagaan tersebut.
Dia berbangga kerana menawarkan perkhidmatan setiap hari berbanding perkhidmatan eksklusif lain.
Bagaimanapun, Brittnye berkata, kebanyakan individu yang mencari perniagaan kini dilihat lebih peka dan berhati-hati.
Secara purata, proses pencarian perniagaan memakan masa kira-kira 18 bulan meliputi langkah membuat semakan melalui penyenaraian dalam talian dan perjanjian dengan broker.
Mereka turut menetapkan kriteria utama seperti rekod hasil yang kukuh dan memiliki ruang untuk pertumbuhan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram