Putera bongsu naik podium GT World Challenge Asia, Raja Permaisuri Agong ke Jepun bakar semangat 2 anakanda


  • Bonda
  • Ahad, 13 Jul 2025

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat bagi menghadiri perlumbaan siri GT World Challenge Asia yang berlangsung di Litar Fuji Speedway, Jepun pada Sabtu.

RAJA Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat bagi menghadiri perlumbaan siri GT World Challenge Asia yang berlangsung di Litar Fuji Speedway, Jepun pada Sabtu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kehadiran Baginda adalah sebagai tanda sokongan kepada dua putera Baginda, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim yang turut bertanding dalam perlumbaan berprestij tersebut.

Dalam perlumbaan pertama di Fuji, Tunku Abu Bakar Al-Haj bersama rakan sepasukannya, Jordan Love yang memandu jentera bernombor 66 berjaya meraih kedudukan ketiga sekali gus mencatat podium pertama mereka untuk musim ini.

BACA LAGI: Kasih tanpa sempadan, Nurul Asma jadi ibu susuan 9 anak kecil tanpa mengharapkan ganjaran

BACA LAGI: Michelle Yeoh suara latar watak ibu dalam filem animasi Ne Zha 2, catat rekod kutipan tiket RM4.7 bilion di China dalam masa 2 minggu

Sementara itu, Tunku Abdul Rahman Al-Haj yang memandu jentera bernombor 99 bersama Ben Green terus mengekalkan prestasi konsisten dengan menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengikuti perkembangan perlumbaan dari ibu negara melahirkan rasa syukur atas pencapaian cemerlang putera bongsu Baginda.

“Saya bersyukur Tunku Putera berjaya mendapat keputusan yang baik kali ini dan berharap agar beliau dan Tunku Panglima terus memberi saingan hebat dalam perlumbaan kedua pada Ahad,” katanya dalam satu kenyataan. 

Turut hadir memberikan sokongan di litar Fuji ialah Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim serta suami beliau, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Kedua-dua jentera pasukan Johor Motorsports Racing (JMR), Corvette Z06 GT3.R akan memulakan perlumbaan kedua dari petak hadapan selepas mencatat kedudukan pertama (jentera #99) dan kedua (jentera #66) dalam sesi kelayakan pada pagi Sabtu.

Perlumbaan kedua boleh ditonton secara langsung melalui saluran YouTube GT World menerusi pautan [

bermula pukul 10.15 pagi waktu Malaysia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram