Kasih tanpa sempadan, Nurul Asma jadi ibu susuan 9 anak kecil tanpa mengharapkan ganjaran


  • Cinta
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Asma bersama anak susuannya yang ke sembilan.

BERBEKALKAN rasa kasih sayang dan ihsan terhadap anak kecil yang memerlukan, seorang wanita di Kuala Terengganu, Nurul Asma Wahap sudah menyusukan sembilan orang anak susuan sejak 2012. 

Ibu kepada tiga anak kandung perempuan itu menjadikan pengalaman tersebut sebagai satu bentuk sumbangan kasih yang tak ternilai iaitu bukan sekadar memberi susu tetapi memberi peluang untuk anak-anak kecil membesar dengan sihat.

“Ibu susuan ni rasa dia lain, saya anggap mereka semua seperti anak sendiri.

“Ada anak susuan yang saya jaga sejak bayi lagi. Saya jugak selalu berhubung dengan ibu bapa mereka sampai sekarang.

"Kadang bila tengok gambar... rasa macam, gembiranya tengok anak-anak susuan saya sekarang makin bahagia dengan keluarga mereka," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Cinta tak kenal usia', wanita Malaysia lebih terbuka, selesa bersuamikan lelaki lebih muda

BACA LAGI: [VIDEO] Rentas masa untuk sejarah sebagai inspirasi, Zachrin Jaafars angkat songket tenunan generasi kedua Felda Chini

Anak-anak Asma rapat antara satu sama lain.

Tanpa mengharapkan ganjaran, beliau mengakui niatnya ikhlas untuk membantu bayi yang tidak berpeluang menyusu dengan ibu kandung sendiri sama ada kerana masalah kesihatan, kekurangan susu atau situasi keluarga tertentu.

“Saya memang banyak susu, anak kandung saya pula semua perempuan, jenis yang minum sikit saja. Sayang kalau dibazirkan, jadi saya pam dan simpan,” katanya.

Wanita berusia 38 itu berkata, setiap anak susuan direkodkan dengan jelas termasuk maklumat ibu bapa kandung atau penjaga bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkaitan hubungan kekeluargaan terutama apabila mereka meningkat dewasa.

“Saya catat semua maklumat penting. Kami juga tak pernah terputus hubungan. Sekurang-kurangnya, setahun sekali saya akan bertemu semula dengan anak-anak susuan dan keluarga mereka,” katanya.

Bagi anak susuan yang kematian ibu bapa, beliau memastikan dirinya tahu maklumat mengenai penjaga atau keluarga angkat bayi tersebut supaya dapat mengekalkan hubungan dari semasa ke semasa.

Antara pengalaman yang masih diingat adalah ketika menghantar susu beku kepada seorang bayi di Kuantan.

“Ada seorang anak susuan saya ibu bapa kandung dia dah tiada. Mak angkat dia memang tak ada susu, jadi saya bantu. Saya pam susu, letak garam kasar dan ais dalam kotak kemudian saya pos melalui bas dari Kuala Terengganu ke Johor,” katanya.

Kisah Asma sebagai ibu susuan bermula sejak 2012 apabila kakaknya kurang sihat selepas bersalin dan memerlukan bantuan untuk menyusukan anak.

Sejak itu, beliau kerap berkongsi stok susu dan pengalaman di media sosial. 

Dari situ, ramai ibu yang memerlukan mula menghubunginya untuk mendapatkan bantuan.

“Kadang-kadang, ada bayi yang lahir tak cukup bulan atau tak boleh menyusu terus dari ibu kandung. Bila ada orang cari saya melalui kenalan atau kumpulan ibu-ibu, saya akan bantu setakat mampu,” katanya.

Asma bersyukur kerana suaminya sentiasa menyokong usaha murni itu. 

Katanya, suaminya memahami peranan ibu susuan kerana minat terhadap sirah Nabi SAW.

“Dia tahu kisah Nabi SAW pun ada ibu susuan, jadi dia sokong penuh. Malah dia yang selalu ingatkan saya tentang pentingnya perkara ini,” katanya.

Menurutnya, mereka menganggap lebihan susu sebagai satu bentuk rezeki yang wajar dikongsi dengan mereka yang memerlukan.

“Kami tak rasa terbeban. Malah anak-anak pun seronok ada ramai adik susuan. Mereka selalu tanya khabar dan tahu siapa saudara susu mereka,” katanya.

Kesemua anak susuan Asma kini tinggal di sekitar Terengganu, kecuali seorang yang berpindah ke Johor bersama keluarga angkatnya. 

Bagaimanapun, hubungan kekal terjalin dan perkembangan setiap anak tetap dipantau.

“Ibu bapa angkat mereka akan hantar gambar atau mesej perkembangan. Ada yang dari kecil saya susukan, sekarang dah mula bersekolah,” katanya.

Bagi Asma, menjadi ibu susuan bukan sekadar memberi susu, tetapi menyambung tali kasih dan memastikan amanah itu dijaga sebaiknya sepanjang hayat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram