KTMB perkenal aplikasi gaya hidup digital pertama, fokus perjalanan lebih mudah dan selamat


  • Sukses
  • Ahad, 13 Jul 2025

KTMB pada Ahad memperkenalkan KITS Style yang menjadi aplikasi gaya hidup digital pertama yang dibangunkan oleh pengendali rel di Malaysia.

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencipta sejarah baharu dalam landskap pengangkutan awam negara dengan melancarkan aplikasi KITS Style iaitu aplikasi gaya hidup digital pertama di Malaysia yang dibangunkan oleh operator rel. 

Inisiatif itu menandakan satu lonjakan besar dalam transformasi digital KTMB dengan meletakkan syarikat itu di barisan hadapan dalam inovasi Mobility-as-a-Service (MaaS) di peringkat ASEAN.

Aplikasi itu bukan sekadar platform membeli tiket seperti sebelum ini, sebaliknya KITS Style membawa konsep serba lengkap dengan merangkumi perancangan perjalanan pintar menggunakan AI, tempahan penerbangan dan hotel sehinggalah kepada ganjaran dan perkhidmatan kewangan dalam satu aplikasi.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari 'fascinator' ke tiara, kemunculan semula Kate Middleton di acara rasmi istana raih pujian peminat fesyen

BACA LAGI: 'Jangan sampai termakan harta batil', Peguam Syarie tegaskan hukum tinggal rumah pusaka boleh jatuh haram

Yang menarik, KITS Style turut memperkenalkan kad terbuka pertama di rantau ini iaitu Kad Prabayar Mastercard Gaya Hidup KITS yang boleh digunakan untuk pelbagai mod pengangkutan awam. 

Ia boleh dimanfaatkan untuk bayaran tambang secara tunai digital yang selamat dan mesra pengguna, sekaligus memberi kelegaan kepada penumpang wanita yang sering bimbang soal keselamatan dan privasi ketika berurusan secara fizikal.

Melalui integrasi sistem tanpa tunai dan capaian gaya hidup digital, aplikasi itu sangat sesuai untuk golongan wanita yang aktif mengurus keluarga, kerjaya dan urusan harian.

Aplikasi itu juga akan memberi manfaat kepada lebih 4.6 juta pengguna sedia ada, sambil menarik lebih ramai pengguna baharu.

KTMB turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Capital A dan Mastercard untuk memperkukuh infrastruktur pembayaran digital serta menggabungkan perkhidmatan udara dan darat dalam satu ekosistem. 

Inisiatif itu akan dimulakan dengan sambungan antara perkhidmatan KTMB dan Lapangan Terbang Senai dan diperluas ke laluan domestik serta rentas sempadan.

Pengurus Negara Mastercard Malaysia dan Brunei, Beena Pothen berkata, pendekatan itu memberi lebih kawalan dan fleksibiliti kepada pengguna wanita yang aktif bergerak dan mencari penyelesaian digital yang menyeluruh.

“Perjalanan kini bukan lagi sekadar dari satu titik ke satu titik. Ia melibatkan gaya hidup, dan pengguna mahukan semuanya dalam satu sistem,” katanya.

Pelancaran KITS Style disifatkan sebagai sejajar dengan aspirasi kerajaan di bawah MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Negara yang menekankan keterangkuman kewangan serta kemodenan infrastruktur mobiliti.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook juga menyifatkan pelancaran itu sebagai selari dengan agenda MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, selain membuktikan bahawa sektor rel mampu menjadi peneraju inovasi.

“KTMB menjadi operator pertama di rantau ini yang melaksanakan sistem kad terbuka untuk rel, hasil kerjasama dengan MPay dan Mastercard,” katanya dalam perasmian pelancaran di Ibu Pejabat Korporat KTMB, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Haji Hasbi Habibollah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, serta Tan Sri Tony Fernandes dan wakil kanan Mastercard.

KTMB kini mempunyai lebih 4.6 juta pengguna aplikasi dan menyasarkan KITS Style sebagai pelantar utama untuk menarik lebih ramai pelanggan baru terutamanya mereka yang mengutamakan kemudahan digital dan penyatuan perkhidmatan harian. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram