
DALAM dunia serba pantas dan penuh dengan sorotan media sosial, mengekalkan hubungan yang harmoni sambil menjalani kerjaya sebagai pempengaruh bukanlah perkara mudah.
Khainina Khalil, 30, seorang pempengaruh digital yang terkenal dengan konten fesyen, kecantikan dan gaya hidup, berkongsi pengalaman serta pandangannya tentang bagaimana beliau menjaga keharmonian rumah tangga sambil mengejar kerjaya yang menuntut interaksi sosial yang tinggi.
Dikenali dengan tip solekan, rutin penjagaan kulit serta gaya pemakaian hijabi yang menjadi ikutan, Khainina memikat ramai pengikut di Instagram dan TikTok dengan kandungan inspiratif.
BACA LAGI: Banglo setingkat kembali jadi idaman, 4 reka bentuk paling mendapat permintaan
BACA LAGI: Pinggan, cermin antara item hias antik mengimbangi, tambah daya tarikan di ruang moden
Temu bual bersama Majoriti, mendedahkan bagaimana Khainina mengimbangi cinta dan kerjaya dengan penuh bijaksana.
Khainina menjadi ikutan di media sosial berdasarkan kandungan fesyen, kecantikan dan gaya hidup yang menarik. — Instagram/Khaininakhalil
Khainina berkongsi bahawa suaminya pernah merasa kurang selesa dengan penampilannya yang sentiasa menarik dan persekitaran dikelilingi ramai individu.
Namun, perkara itu tidak pernah menjadi isu besar dalam hubungan mereka.
"Saya tak pernah berbincang secara terperinci tentang hal ini dengan dia, tapi setakat ini semuanya baik-baik saja," katanya.
Pendekatan terbuka dan saling memahami menjadi kunci untuk mengelakkan konflik dalam hal tersebut.
Hormati pandangan suami tentang pilihan pakaian
Dalam gaya pemakaian, Khainina memastikan pilihannya sesuai dengan keselesaan suami.
"Pakaian saya kebanyakannya longgar, tidak terlalu ketat atau mendedahkan. Jika saya ingin memakai sesuatu yang sedikit berbeza, seperti gaun yang agak ketat, saya akan berbual dengan suami terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangannya," jelasnya.
Menariknya, suami Khainina sering membantu mengambil gambar untuk media sosial selain memberi cadangan penyesuaian pakaian jika perlu, tanpa sebarang larangan ketat.
Pendekatan itu menunjukkan kerjasama dan saling menghormati dalam hubungan mereka.
Sebagai pempengaruh, Khainina mengakui bahawa bersosial adalah sebahagian besar daripada kehendak kerjayanya, tetapi ia juga boleh memenatkan.
"Ada masanya saya rasa letih kerana perlu berinteraksi dengan pelbagai jenis orang, termasuk yang tidak dikenali.
"Saya perlu menguruskan perbincangan dengan baik untuk melalui hari itu, tetapi selepas acara, saya benar-benar keletihan," katanya.
Cabaran itu mengajarnya untuk lebih bijak mengurus tenaga dan emosi dalam menjalankan tugas.
Aspek kurang menyenangkan sebagai pempengaruh
Khainina turut berkongsi cabaran dalam kerjayanya, seperti berhadapan dengan klien yang mendesak, mengubah keputusan pada saat akhir atau enggan membuat pembayaran.
"Perkara seperti itu memang menyukarkan, tetapi itulah realiti dalam bidang ini," ujarnya.
Ketabahan dan profesionalisme menjadi tunjang untuk menghadapi situasi sedemikian.
Mengimbangi kerjaya dan rumahtangga
Dengan jadual kerja yang tidak terikat seperti pekerjaan 9 hingga 5, Khainina bijak mengatur masa.
"Pada hari-hari saya sibuk, saya pastikan ada hari rehat untuk bersama suami. Malamnya, saya luangkan masa untuk menonton televisyen atau berbual dengannya.
"Ini penting untuk memastikan dia rasa dihargai," katanya.
Pendekatan Khainina itu membuktikan bahawa komunikasi dan masa berkualiti adalah kunci untuk mengekalkan hubungan yang erat.
Bersosial adalah sebahagian besar daripada tuntutan kerjaya, namun Khainina akur walau ada kalanya amat memenatkan. — Instagram/Khaininakhalil
Menurut Khainina, memilih pasangan yang memahami dan menyokong kerjaya adalah penting.
"Sebelum berkahwin, kita perlu memastikan pasangan menerima cara hidup dan kerja kita. Saling memahami antara satu sama lain adalah asas untuk hubungan yang kukuh," katanya.
Walaupun suami Khainina tidak terlibat dalam industri pempengaruh, sokongannya membantu Khainina menjalani kerjaya dengan yakin.
Setakat ini, Khainina bertuah kerana suaminya sangat memahami dan tidak pernah mempersoalkan kandungan yang dikongsikan.
"Jika saya rasa sesuatu kandungan itu sensitif, saya akan berbincang dengannya terlebih dahulu. Biasanya, saya elak memuat naik sesuatu yang berpotensi menimbulkan masalah," katanya, menunjukkan sikap berhati-hati dan bertimbang rasa.
Menghadapi komen negatif di media sosial
Dunia media sosial tidak selalu indah dan Khainina memilih untuk berdiam diri ketika berdepan dengan kritikan atau komen negatif.
"Saya tidak melayan komen negatif. Saya abaikan atau tidak baca langsung. Sebagai figura awam, cara kita bertindak balas mencerminkan siapa kita, jadi saya memilih untuk kekal tenang." katanya.
Khainina bertuah kerana suaminya sangat memahami dan tidak pernah mempersoalkan kandungan yang dikongsikan.
Khainina menekankan pentingnya komunikasi dalam hubungan, terutama bagi pasangan yang mempunyai kerjaya aktif seperti dirinya.
"Kenali pasangan anda dan jangan abaikannya. Luangkan masa untuk berbual, bertanya khabar dan menunjukkan perhatian.
"Jangan hanya fokus pada kerja sehingga melupakan pasangan. Perbincangan harian adalah kunci untuk mengekalkan hubungan yang sihat," nasihatnya.
Khainina menunjukkan bahawa dengan komunikasi, saling memahami dan usaha untuk mengimbangi kerjaya serta kehidupan peribadi, hubungan yang kukuh dapat dikekalkan walaupun dalam tekanan dunia pempengaruh.
Pendekatannya yang praktikal dan penuh empati boleh menjadi inspirasi kepada ramai pasangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram