
TIARA berlian milik Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah antara momen yang menjadi tumpuan utama pada majlis persandingan Raja Sarina Intan Bahiyah yang berlangsung pada 31 Mei lalu.
Menerusi hantaran di Instagram malaysia.royalfamily, anakanda Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dilihat menggayakan tiara berlian bersejarah yang diwarisi oleh Raja Zarith Sofiah daripada bonda baginda, Almarhumah Raja Perempuan Perak Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Datuk Sri Ariff Shah
Raja Zarith Sofiah ialah anakanda ketujuh dan puteri ketiga kepada Almarhum Sultan Perak Paduka Seri Sultan Idris Shah II Sultan Perak ke-33 dan Raja Perempuan Muzwin.
BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya gaya Gen Z
Che' Puan Mahkota Khaleeda Bustamam juga pernah memakai tiara tersebut. — Media sosial
Tiara berlian tersebut merupakan antara perhiasan diraja yang bernilai dan jarang dipakai secara terbuka.
Kali terakhir ia digayakan oleh Raja Zarith Sofiah semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen pada 26 Februari tahun lalu.
Sebelum itu, baginda turut mengenakannya dalam beberapa majlis rasmi lain.
Tiara sama juga pernah dipakai oleh isteri Pemangku Sultan Johor, Che' Puan Mahkota Khaleeda Bustamam dalam acara tertentu.
Lebih menarik, tiara tersebut bukan sahaja memiliki nilai sejarah sebagai warisan keluarga diraja, tetapi juga menampilkan reka bentuk yang hampir menyerupai mahkota milik Girls of Great Britain and Ireland, iaitu antara perhiasan paling ikonik dalam koleksi diraja British.
Tiara berkenaan sinonim dengan penampilan mendiang Ratu Elizabeth II sepanjang pemerintahannya dan kini turut digayakan oleh Permaisuri Camilla, termasuk ketika menghadiri Istiadat Penghormatan Raja Charles III di London pada 18 Oktober 2024.
Sekadar info, Raja Sarina ialah anakanda ketiga hasil perkahwinan antara Raja Iskandar Dzulkarnain dan Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim yang juga puteri kepada Sultan Kedah ke-27 dan Yang di-Pertuan Agong ke-5 serta ke-14, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Raja Zarith Sofiah pula merupakan adinda kepada Raja Iskandar Dzulkarnain, menjadikan baginda ibu saudara kepada Raja Sarina.
Kedua-duanya ialah putera dan puteri kepada Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah iaitu Sultan Perak ke-33 yang memerintah dari 1963 sehingga 1984. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram