
FESYEN sering dianggap sekadar gaya luaran atau penanda trend semasa, tetapi hakikatnya, ia memiliki pengaruh psikologi yang jauh lebih mendalam.
Dalam psikologi fesyen, pakaian dilihat sebagai cara seseorang menunjukkan siapa diri mereka, apa yang mereka rasa dan bagaimana mereka berkomunikasi tanpa berkata-kata.
Beberapa filem popular memaparkan dengan jelas bagaimana fesyen boleh membentuk identiti, kedudukan sosial, malah mempengaruhi tingkah laku dan emosi seseorang.
BACA LAGI: Berhias, mekap bukan ukuran cantik, berikut cara kenal pasti wanita jenis pembersih atau tidak
1. The Devil Wears Prada (2006), fesyen sebagai simbol status dan kebolehan diri
Dalam dunia majalah fesyen berprestij, penampilan adalah kuasa.
Watak Andy Sachs yang pada awalnya tidak mengendahkan fesyen, akhirnya menyedari bahawa untuk diterima dan dihormati dalam industri itu, dia perlu menyesuaikan penampilannya.
Agensi menjelaskan bagaimana berpakaian formal seperti sut boleh membantu seseorang berfikir lebih luas serta dilihat lebih layak dan boleh dipercayai semasa membuat keputusan.
2. Confessions of a Shopaholic (2009), fesyen sebagai terapi emosi
Filem ini menyentuh bagaimana pakaian boleh menjadi cara melepaskan tekanan emosi.
Watak utama, Rebbeca Bloomwood menjadikan membeli-belah sebagai cara menangani tekanan dan kekosongan diri.
Ini selari dengan dapatan kajian yang didedahkan oleh agensi menunjukkan bahawa pembelian impulsif dalam fesyen sering berkait rapat dengan usaha mengawal emosi seperti keresahan dan kemurungan.
3. House of Gucci (2021), fesyen sebagai medium pengaruh dan strategi sosial
Watak Patrizia Reggiani menggunakan pakaian untuk membentuk imej dan mencipta dominasi dalam dunia Gucci.
Fesyen dalam filem ini dilihat sebagai strategi politik, bukan sekadar ekspresi diri.
Ia menunjukkan bagaimana gaya berpakaian boleh dijadikan strategi dalam mempertahankan status dan membentuk tanggapan masyarakat.
4. Cruella (2021), fesyen dan proses penemuan diri
Cruella menjadikan pakaian sebagai ruang memberontak dan membina identiti.
Gaya unik dan dramatiknya mencerminkan trauma masa lalu serta proses menyusun semula jati diri.
Menurut laporan agensi, memakai pakaian yang memberi makna seperti lab coat yang biasanya dikaitkan dengan profesionalisme boleh membantu individu merasakan lebih kawalan terhadap hidup mereka, sekali gus meningkatkan keyakinan dan prestasi mental.
5. Clueless (1995), gaya sebagai alat sosial remaja
Dalam kalangan remaja, pakaian berperanan besar dalam membina reputasi, pengaruh dan pergaulan.
Watak Cher menggunakan fesyen sebagai cara membentuk naratif sosial.
Ini sejajar dengan dapatan psikologi yang menunjukkan remaja menggunakan gaya untuk membina identiti kumpulan dan menentukan status dalam kedudukan social dalam kalangan pelajar.
Bagaimana fesyen mempengaruhi kehidupan seharian?
Fesyen bukan hanya sekadar gaya peribadi, sebaliknya ia memberi kesan langsung terhadap kerjaya, hubungan sosial dan emosi dalaman.
Beberapa kajian dan laporan media turut menunjukkan bagaimana fesyen memberi kesan kepada kehidupan seharian:
1. Dalam dunia kerjaya
Pakaian profesional memberi isyarat kepimpinan, kredibiliti dan kecerdasan.
Kajian terdahulu mendedahkan bahawa individu yang berpakaian formal lebih cenderung berfikir secara lebih terbuka dan bertindak lebih yakin dalam suasana profesional.
Konsep ini dikenali sebagai enclothed cognition yang merujuk kepada kesan pakaian terhadap pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang.
Ia bukan sekadar bagaimana orang lain melihat kita, tetapi bagaimana pakaian mempengaruhi cara kita melihat dan membawa diri sendiri.
2. Dalam hubungan dan sosial
Menurut laporan Vogue, gaya pemakaian memberi isyarat kepada keperibadian seseorang.
Warna cerah dan rekaan berani sering dikaitkan dengan keterbukaan, manakala gaya tradisional dikaitkan dengan kestabilan.
Dalam konteks hubungan, pakaian menjadi cara untuk menyampaikan emosi, niat atau keyakinan diri.
3. Dalam emosi dan kesejahteraan mental
Konsep dopamine dressing merujuk kepada amalan memilih pakaian yang boleh mencetuskan rasa gembira dan menaikkan semangat.
Ia sering diamalkan oleh individu yang berdepan dengan kemurungan ringan sebagai usaha untuk mengubah suasana hati, sama ada melalui pemilihan warna ceria, fabrik yang selesa atau potongan yang membuatkan diri terasa lebih yakin.
Filem seperti The Devil Wears Prada, House of Gucci dan Cruella menunjukkan bahawa fesyen bukan sekadar soal penampilan. Ia berkait rapat dengan psikologi, kuasa, identiti dan emosi.
Apa yang kita pakai mencerminkan cerita yang ingin kita sampaikan, bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga kepada diri sendiri.
Dalam konteks ini, fesyen bukan hanya tentang gaya. Ia adalah satu bentuk komunikasi senyap namun berpengaruh, yang membentuk cara kita melihat diri sendiri dan bagaimana orang lain melihat kita.
— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram