Walau cetus kontroversi, sandal Kolhapuri versi Prada terima pengiktirafan, buka peluang usahawan tempatan


  • Gaya
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Secara tidak langsung, simbiosis antara jenama Prada dan sandal Kolhapuri membuka ruang perniagaan baharu kepada ramai usahawan dan pembuat sandal di India.

PENJUAL dan penggiat seni kasut tradisional India kini mengambil peluang daripada kontroversi melibatkan sandal Prada untuk meningkatkan jualan sandal etnik bersejarah dikenali sebagai Kolhapuri.

Perhatian global terhadap sandal yang wujud sejak abad ke-12 itu menghidupkan semula harapan untuk memulihkan seni kraf semakin dilupakan.

Dalam minggu lalu, jualan sandal Kolhapuri meningkat secara mendadak selepas Prada mencetuskan perbincangan apabila menampilkan rekaan terbuka menyerupai gaya Kolhapuri pada pertunjukan fesyen di Milan.

BACA LAGI: Analisis tahi telinga, ujian bau badan antara cara awal kesan penyakit Parkinson

BACA LAGI: Lali gaduh 'Tom & Jerry', 3 beradik jelita, rakan baik tepis cabaran bina jenama minyak wangi DAFT

Prada memperagakan sandal kulit terbaharunya pada Minggu Fesyen Milan di Itali.

Walaupun awalnya tidak memberi pengiktirafan kepada asal usul reka bentuk tersebut, Prada kemudiannya mengakui bahawa sandal mereka diinspirasi daripada rekaan tradisional India.

“Prada 0: Kolhapur 1,” tulis laman e-dagang Shopkop di Instagram, selepas pengasasnya, Rahul Parasu Kamble menulis surat terbuka kepada Prada yang menjelaskan bahawa sandal terlibat penuh dengan nilai tradisi.

Surat itu dikongsi semula lebih 36,000 kali di media sosial.

“Saya lihat isu ini sebagai peluang untuk mempromosikan Kolhapuri,” kata Kamble, 33, yang berjaya menjual sandal berjumlah 50,000 rupee (kira-kira RM2,475) dalam tempoh tiga hari iaitu lima kali ganda daripada biasa.

Media sosial juga dibanjiri dengan komen dan gambar jenaka, malah beberapa tokoh politik, penggiat seni dan persatuan perdagangan tampil meminta pengiktirafan diberikan kepada warisan seni tempatan.

Sebagai respon, Prada menyatakan komitmen untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama penggiat seni tempatan dan bercadang untuk menghasilkan sandal tersebut di India jika ia dikomersialkan.

Iklan kreatif, promosi hebat

Walaupun pasaran barangan mewah di India masih kecil, ia semakin berkembang dengan golongan elit sanggup berbelanja besar untuk barangan seperti kereta Lamborghini dan jam tangan eksklusif.

Prada tidak memiliki butik fizikal di India dan produknya hanya mampu dimiliki golongan berkemampuan dengan sandal kulit lelaki Prada dijual sekitar AS$844 (RM3,564), manakala Kolhapuri boleh dibeli serendah AS$12 (RM51).

Kolhapuri antara simbol warisan budaya India, kini menjadi tumpuan selepas dikaitkan dengan jenama mewah antarabangsa. — Agensi

Namun, kaitan antara jenama Prada dan sandal Kolhapuri memberikan ruang perniagaan baharu kepada ramai usahawan dan pembuat sandal.

Di Mumbai, syarikat Ira Soles menggunakan Facebook dan Instagram untuk mempromosikan sandal mereka yang dijual pada harga 32 dolar AS (RM135) dengan slogan ‘baru sahaja melangkah di pentas Prada’.

Sementara itu, laman Niira menawarkan diskaun hingga 50 peratus untuk koleksi sandal Kolhapuri mereka yang diinspirasikan daripada warisan tradisi

Menurut pengasasnya, Nishant Raut, jualan untuk sandal berharga AS$18 (RM76) yang menyerupai rekaan Prada di Milan meningkat tiga kali ganda.

“Kenapa jenama Kolhapuri dari India tak boleh jadi besar seperti Birkenstock?,” katanya.

Dibuat secara buatan tangan di bengkel kecil, sandal Kolhapuri atau chappal dalam bahasa Hindi sering digayakan bersama pakaian tradisional India.

Rekaan serupa juga boleh didapati di kedai besar seperti Bata India, Metro Brands serta platform seperti Amazon dan Flipkart.

Pada 2021, kerajaan India menyatakan bahawa sandal ini berpotensi menjana eksport bernilai AS$1 billion (RM4.2 bilion) setahun.

Walaupun anggaran terkini tidak diumumkan, ramai tukang kasut tradisional mengakui industri ini semakin mencabar berikutan trend pengguna yang beralih kepada kasut moden dan berjenama tinggi.

Namun, perhatian global yang diterima sekarang memberi nafas baharu kepada seni ini. Presiden gabungan industri utama Maharashtra, Lalit Gandhi, menyifatkannya sebagai seni yang hampir pupus dan sedang berunding dengan Prada untuk menghasilkan sandal edisi terhad bersama.

Bagi pembuat sandal tempatan seperti Ashok Doiphode, 50, yang menjahit sandal Kolhapuri selama sembilan jam sehari dan hanya mampu menjual sepasang pada harga 400 rupee (RM20), perkembangan ini memberi harapan.

“Kalau syarikat besar seperti Prada terlibat, pembuat sandal seperti saya mungkin dapat harga yang lebih baik,” katanya. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram