[VIDEO] Tetamu 'sporting' hadir ikut tema berkebaya Nyonya, batik rai majlis perkahwinan


  • Gaya
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Tangkap layar memaparkan antara tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan tersebut. — TikTok/@aparkpuchong

SEBUAH video majlis perkahwinan bertemakan budaya tempatan menarik perhatian ramai selepas dimuat naik oleh pengendali sebuah ruang perkahwinan.

Video itu memaparkan para tetamu dari pelbagai peringkat umur hadir lengkap berpakaian mengikut tema yang ditetapkan, iaitu Baba Nyonya dan batik.

"Pov: apabila tetamu datang ikut tema," tulis ringkas pengendali rumah perkahwinan terlibat dalam video berkenaan.

BACA LAGI: Keperibadian, kebijaksanaan anak-anak terbentuk hasil didikan ibu bapa? Ada setuju, ada pula sebaliknya

BACA LAGI: Tanpa kedai, tanpa sewa, 'home cafe' jadi trend baharu di Singapura

Suasana majlis tampak lebih ceria apabila hampir semua tetamu tampil mengikut tema ditetapkan.

Para wanita mengenakan kebaya dalam pelbagai warna dan corak, sementara lelaki tampil kemas dan segak memakai kemeja batik.

Selain itu, majlis tersebut turut menyediakan sudut bergambar yang dihias dengan elemen klasik seperti payung lama, mangkuk tingkat dan radio zaman dahulu.

Lebih menarik, beberapa tetamu berbangsa Cina juga dilihat anggun mengenakan kebaya Nyonya.

Identiti pengantin bagaimanapun tidak didedahkan.

Kebaya Baba Nyonya merupakan pakaian tradisional yang berasal daripada komuniti Peranakan, iaitu hasil perkahwinan campur antara pedagang Cina dan wanita tempatan, terutamanya di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

Kebaya ini biasanya diperbuat daripada kain nipis dengan sulaman tangan halus dan dipadankan dengan kain sarung batik serta kerongsang sebagai penutup butang.

Busana ini bukan sahaja melambangkan identiti kaum Baba dan Nyonya, malah menjadi antara simbol penting dalam sejarah perkembangan fesyen wanita di Asia Tenggara.

Hari ini, kebaya Baba Nyonya masih dipakai dalam acara rasmi dan sering dijadikan tema dalam majlis yang ingin mengetengahkan nilai budaya dan tradisi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram