Kekal aktif sambil bergaya sopan, ini 5 jenama lokal pakaian sukan patuh syariah


  • Gaya
  • Isnin, 07 Jul 2025

Rekaan pakaian sukan patuh syariah kini tampil lebih moden, selesa dan sesuai untuk pelbagai aktiviti harian wanita berhijab. — Instagram Nada Identity dan Alhumaira

DUNIA moden hari ini menyaksikan semakin ramai wanita Muslim aktif bersukan sambil menjaga aurat dan penampilan.

Jika dahulu pilihan pakaian sukan patuh syariah sangat terhad, kini semakin banyak jenama tempatan menawarkan rekaan moden, praktikal serta menutup aurat dengan sempurna.

Pakaian ini bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah direka dengan fabrik berkualiti, potongan mesra pergerakan dan warna yang menarik.

BACA LAGI: Bawa RM10,000 naik Himalaya, enam beradik dari Penang tak sangka buah eksotik ubah nasib keluarga

BACA LAGI: Teruskan legasi ibu, anak pengasas Wardah guna kepakaran dermatologi pacu industri kosmetik halal

Berikut merupakan lima jenama pakaian sukan patuh syariah tempatan yang wajar diberi perhatian:

1. Naelofar

Jenama yang diusahakan oleh pelakon, Noor Neelofa ini sudah sinonim dengan fesyen Muslimah dan kini tampil dengan koleksi pakaian renang patuh syariah.

Koleksi ini menampilkan warna-warna seperti hitam, biru navy, hijau olive dan kelabu.

Ia dilengkapi skaf serta rekaan drawstring dan ada juga rekaan berzip di bahagian hadapan.

Selain pakaian renang, jenama ini turut memperkenalkan hoodie vest yang sesuai dipakai untuk aktiviti santai seperti berjalan atau senaman ringan.

Rekaannya ringkas dan selesa menjadikannya pilihan praktikal untuk kegunaan luar.

2. Nada Identity

Nada Identity pula tampil dengan koleksi windbreaker yang santai dan aktif.

Direka dengan potongan longgar dan disertakan hoodie serta drawstring, ia sesuai dipakai ketika melakukan aktiviti riadah ringan atau sekadar bersantai.

Gaya pemasarannya yang kreatif dengan menampilkan model di gelanggang pickleball membuatkan jenama ini semakin dikenali.

Ia hadir dengan pilihan warna seperti merun, merah jambu, beige dan coklat.

3. Raqtive

Raqtive merupakan antara jenama terawal yang memberi tumpuan kepada penghasilan tudung sukan di Malaysia sejak 2012.

Koleksi Raqtive Sports Hijab direka khusus untuk wanita yang aktif bersukan.

Reka bentuknya ringan, mudah dipakai dan kekal terletak walaupun dalam pergerakan lasak.

Ia sesuai dipakai semasa berlari, bersenam mahupun ketika menyertai acara sukan di padang.

Jenama ini menjadi pilihan utama remaja dan wanita muda yang aktif atau dalam kalangan olahragawati.

4. TudungPeople

TudungPeople tidak hanya menampilkan koleksi tudung sukan, tetapi turut menawarkan pilihan pakaian seperti parka panjang, parka dengan zip separuh, seluar trek serta seluar tummy tuck yang sesuai untuk aktiviti fizikal mahupun gaya kasual.

Tidak terhad pada gaya sukan, parka panjang misalnya juga boleh digayakan sebagai jaket harian kerana potongannya yang ringkas tetapi menarik.

Koleksi ini juga hadir dalam pelbagai warna daripada rona cerah hinggalah ke rona gelap.

5. Alhumaira

Alhumaira tampil dengan tudung sukan dikenali sebagai Aera yang direka bagi kegunaan harian dan aktiviti fizikal.

Tudung ini dihasilkan menggunakan fabrik AirMax Stretch yang bersifat ringan, mudah regang, cepat kering dan mempunyai pengudaraan yang baik.

Ciri-ciri ini membolehkan pemakai bergerak dengan selesa sambil memastikan aurat kekal terpelihara.

Rekaannya turut mengambil kira kesesuaian untuk pengguna daripada pelbagai peringkat umur.

Lima jenama tempatan ini membuktikan bahawa golongan Muslimah kini mampu bersukan dengan yakin dan selesa tanpa mengabaikan syariat.

Pakaian yang ditawarkan bukan sahaja praktikal dan selesa, malah menepati citarasa fesyen semasa.

Sukan kini bukan lagi penghalang untuk bergaya dan menjaga aurat, asalkan kita bijak membuat pilihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram