Sekolah kebangsaan vs sekolah swasta dan antarabangsa: Mana lebih baik untuk anak anda?


  • Bonda
  • Selasa, 08 Jul 2025

Ibu bapa pastinya mahu pendidikan yang terbaik buat anak mereka. — Gambar Hiasan

KEPUTUSAN untuk menghantar anak ke sekolah swasta atau antarabangsa sering menjadi perbincangan dalam kalangan ibu bapa terutamanya mereka yang mahukan pendidikan terbaik buat anak-anak. 

Ramai beranggapan jika mampu dari segi kewangan, maka sekolah swasta atau antarabangsa adalah pilihan yang lebih baik. 

Namun, benarkah ia dianggap satu pelaburan yang berbaloi?

BACA LAGI: Bila waktu sesuai kenalkan anak dengan pasangan baharu selepas bercerai? Ini perkongsian berdasarkan pengalaman nyata

BACA LAGI: 'Awak ibu hebat', suami puji isteri cekal asuh 9 anak susuan, reda serah bayi kepada keluarga kandung

Perbincangan mengenai topik itu hangat dibicarakan di media sosial apabila seorang pengguna bertanyakan pendapat tentang sekolah terbaik untuk anak-anak. 

Rata-rata warga maya berkongsi pengalaman peribadi yang memberikan gambaran seimbang antara kelebihan dan kekurangan kedua-dua jenis institusi pendidikan iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah swasta atau antarabangsa.

Kelebihan sekolah swasta dan antarabangsa

Salah seorang ibu, Sararasol berkongsi bahawa dua anak lelakinya kini bersekolah di sebuah sekolah swasta Islamik yang bersepadu. 

Baginya, aspek pendidikan agama yang kukuh menjadi keutamaan.

“Saya sangat suka dengan suasana pendidikan Islam mereka iaitu solat berjemaah setiap hari, bacaan al-Ma’thurat, tazkirah setiap Jumaat dan waktu sekolah yang lengkap dari pukul 8 pagi hingga pukul 4.15 petang termasuk makan dua kali.

"Ustaz dan ustazah juga menjaga pelajar sampai balik iaitu sekitar pukul 6 petang,” katanya.

Bilangan pelajar di dalam kelas bagi sekolah swasta adalah lebih terhad berbanding sekolah kebangsaan. — Gambar Hiasan

Manakala S_millionmix yang menghantar anak ke sekolah antarabangsa Islamik menyatakan kepuasan terhadap pembangunan sahsiah anaknya. 

Beliau memuji persekitaran sekolah yang membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan adab dalam kalangan pelajar.

“Paling menenangkan hati bila tengok kawan-kawan dan abang-abang senior semua beradab, saling jaga dan tiada kata-kata kesat,” jelasnya.

Begitu juga dengan Allureayu yang menghantar anak ke sekolah antarabangsa sejak kecil dan melihat hasil yang sangat positif.

“Anak saya matang, yakin bila bercakap dan konsisten cemerlang setiap penggal. Dari tahun satu lagi dah ada aktiviti kokurikulum. Pendidikan agama pula kami uruskan sendiri di rumah bersama ustaz,” katanya.

Selain kurikulum yang fleksibel dan global, faktor bilangan pelajar yang lebih kecil juga membolehkan guru memberi tumpuan lebih kepada setiap pelajar iaitu satu kelebihan yang disebut oleh syifaapaa, bekas pelajar sekolah swasta agama.

Ibu bapa pastinya mahu pendidikan yang terbaik buat anak mereka. — Gambar Hiasan

Kekuatan Sekolah Kebangsaan

Namun, tidak semua ibu bapa mempunyai akses kepada sekolah swasta atau antarabangsa terutamanya di luar kawasan bandar.

Seorang pengguna, Khalisah_hazrina berkata, pilihan sekolah swasta di Johor agak terhad dan jauh dari rumah.

Walaupun begitu, beliau tetap positif terhadap pengalaman anaknya di sekolah kebangsaan.

“Anak saya belajar di SK dan Alhamdulillah semuanya okey. Pelajar bercakap dalam bahasa Inggeris dan Melayu dengan baik. Saingan memang tinggi. Ada juga aktiviti agama seperti bacaan Yasin dan solat hajat setiap minggu,” katanya.

Bagi pelajar yang memerlukan sokongan khas, sistem pendidikan kebangsaan juga menyediakan laluan yang sesuai. 

Aliabahtar berkongsi pengalaman anaknya yang mempunyai masalah penglihatan tetapi tetap menerima pendidikan berkualiti di sekolah kebangsaan dengan bantuan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Anak saya berada dalam kelas arus perdana sejak tahun dua. Kini di SMK dan aktif dalam debat serta aktiviti kokurikulum. Guru-guru sangat menyokong,” jelasnya.

Pilihan bergantung kepada keperluan dan kemampuan

Secara keseluruhan, perbandingan antara sekolah kebangsaan dan sekolah swasta atau antarabangsa bukanlah soal mana yang lebih baik secara mutlak, tetapi lebih kepada kesesuaian dengan keperluan anak dan kemampuan keluarga.

Sekolah swasta dan antarabangsa mungkin menawarkan persekitaran yang lebih selesa, pendekatan pembelajaran yang moden dan fokus terhadap pembangunan menyeluruh termasuk akhlak dan sahsiah diri.

Namun, sekolah kebangsaan juga tidak kurang hebatnya terutama bagi ibu bapa yang aktif mengambil peranan dalam pendidikan anak di luar waktu sekolah seperti kelas agama tambahan atau program petang yang lebih tersusun.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram