Gabung nikah dan sanding hari sama lebih jimat, ketahui 7 tip realistik elak majlis jadi kelam-kabut


  • Cinta
  • Selasa, 08 Jul 2025

Banyak tip yang praktikal dan terbukti berkesan untuk pasangan yang memilih untuk mengadakan majlis akad nikah dan persandingan dalam masa satu hari. — Gambar Hiasan 

MENGGABUNGKAN majlis akad nikah dan persandingan dalam masa satu hari bukan sahaja menjimatkan kos, malah sesuai untuk pasangan yang mengimpikan majlis serba ringkas tetapi bermakna.

Namun begitu, tanpa perancangan yang teliti, hari bahagia itu boleh bertukar menjadi pengalaman yang meletihkan dan tidak menepati cita rasa.

Seorang pengguna Threads, Lenarosd baru-baru ini mempersoalkan tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat jika memilih bernikah dan bersanding pada hari yang sama. 

BACA LAGI: 'Awak ibu hebat', suami puji isteri cekal asuh 9 anak susuan, reda serah bayi kepada keluarga kandung

BACA LAGI: Rasuah bukan sekadar salah laku kewangan, tetapi ancaman senyap terhadap institusi keluarga

 

Dalam hantaran itu, ramai pasangan tampil berkongsi beberapa tip yang boleh dititikberatkan bagi individu yang sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Berikut merupakan tujuh tip yang paling praktikal dan terbukti berkesan daripada pasangan yang telah melalui majlis sebegitu.

1. Dapatkan tidur berkualiti sebelum majlis

Tidur yang cukup bukan sekadar untuk memastikan wajah tampak segar, malah penting untuk kesihatan fizikal dan mental sepanjang hari. 

Jurugambar, Iqbalzharif menasihatkan agar pengantin tidur awal kerana solekan biasanya dimulakan seawal pukul 6 pagi. 

Seorang pengguna, Shuncrimson, berkongsi kisahnya yang hanya sempat tidur selama tiga jam sebelum majlis perkahwinan akibat perasaan cemas yang mendalam.

Akibatnya, dia berasa keletihan sepanjang majlis berlangsung. 

2.  Solekan awal dan minimumkan pertukaran gaya

Bagi menjimatkan masa, pasangan perlulah merancang gaya solekan yang sesuai untuk kedua-dua sesi agar penampilan kekal anggun tanpa mengganggu jadual.

Pengantin disarankan mengekalkan solekan akad nikah sehingga ke majlis persandingan dengan hanya melakukan sedikit sentuhan semula.

“Jangan buang masa dua jam untuk solekan baru. Solekan awal yang tahan lama, disusuli touch-up sudah memadai,” ujar Iqbalzharif.

3. Lantik pembantu peribadi yang mahir dan boleh diandalkan

Melantik pembantu peribadi penting untuk membantu pengantin mengurus situasi tidak terduga di belakang tabir.

Menurut jurugambar, Feykaryuzaily, pembantu peribadi berfungsi sebagai orang tengah yang memastikan pengantin kekal tenang dan fokus. 

“Apa sahaja masalah, biar dia uruskan. Wajah pengantin perlu sentiasa berseri kerana kamera merakam sepanjang masa,” katanya.

4. Lokasi persiapan sebaiknya berdekatan lokasi majlis

Elakkan memilih tempat bersiap yang terlalu jauh daripada lokasi majlis kerana ia boleh mengundang kelewatan yang tidak dijangka.

“Lima kilometer pun dianggap jauh jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Lokasi yang dekat boleh menjimatkan masa dan mengurangkan tekanan,” jelas Iqbalzharif.

5. Jangan abaikan waktu makan

Ramai yang mengabaikan waktu makan atas alasan terlalu sibuk. 

Namun, hal itu boleh menyebabkan keletihan, migrain atau pengsan. 

Seorang pengguna, Azminaafifah mencadangkan agar pengantin mengambil sarapan ringan sebelum majlis bermula dan makan secukupnya sebelum sesi fotografi outdoor. 

“Bukan sampai kenyang melampau, tetapi cukup untuk kekal bertenaga,” katanya.

6. Sediakan tentatif majlis dan lantik floor manager yang tegas

Majlis dua dalam satu memerlukan penyusunan masa yang sangat teliti. 

Seorang pengurus pentas (floor manager) yang tegas dan berpengalaman amat diperlukan bagi memastikan aliran majlis teratur dan tidak tersasar dari jadual.

Ini membolehkan jadual setiap slot majlis dibuat dengan terperinci dan dikawal dengan disiplin.

Pengantin, Fsyzwani berkongsi rasa kesal kerana tidak sempat bertemu ramai tetamu akibat masa yang terlalu padat dan pengurusan majlis yang longgar.

7. Fokus pada kebahagiaan diri, bukan kepuasan semua pihak

Hari perkahwinan adalah hari istimewa buat pengantin, bukan hari untuk memuaskan kehendak orang lain. 

 “Utamakan kebahagiaan diri kerana inilah hari anda.

 “Kalau khemah dah biru cantik ikut cita rasa kau, tiba-tiba ada yang komen tak lawa, abaikan saja,” tulis AzminaafifahMajoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram