Hampir 30 tahun terajui Versace, Donatella undang supermodel 90-an hiasi kempen terakhir


  • Gaya
  • Selasa, 08 Jul 2025

Claudia Schiffer (tengah) merupakan antara model era 90-an yang tampil dalam koleksi terakhir Versace.

KEBANYAKAN orang apabila berhenti kerja mungkin hanya menerima hadiah kecil seperti lilin beraroma atau jam hiasan. 

Tetapi bagi ikon dunia fesyen, Donatella Versace, perpisahan dari kerjayanya memerlukan sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar jamuan kecil di pejabat.

Bagi menandakan pelancaran koleksi terakhir beliau sebagai pengarah kreatif rumah fesyen Versace yang mana merupakan jawatan yang dipegangnya hampir 30 tahun, Donatella mengumpulkan semula rakan-rakan terdekatnya untuk satu majlis perpisahan istimewa. 

BACA LAGI: Cipta minuman berkarbonat dari rumah, ibu 3 anak catat jualan hampir 2 bilion tin dalam 18 bulan

BACA LAGI: Kulit tetap bermasalah walau tak culas amal rutin kecantikan, Deanna Yusoff kongsi tip awet muda tanpa modal

Donatella menerajui Versace sejak kematian abangnya Gianni Versace pada 1997. — Instagram/@donatella_versace

Namun, ia bukan majlis biasa. Apabila rakan-rakannya terdiri daripada barisan supermodel terkenal, maka tidak hairanlah majlis tersebut bertukar menjadi satu sesi penggambaran fesyen berskala besar.

Majlis ini turut menampilkan rekaan ikonik Donatella, iaitu gaun logam berkilauan dalam rona emas dan perak yang menjadi simbol gaya Versace. 

Jurugambar terkemuka, Mert Alas dan Marcus Piggott turut terlibat untuk merakam detik-detik penting tersebut bersama 25 model terkenal termasuk Kate Moss, Claudia Schiffer dan Amber Valetta. 

Hasilnya dijadikan kempen iklan musim luruh/sejuk terbaru Versace.

Kempen yang meraikan penutup sebuah era itu mengetengahkan koleksi terbaik sepanjang zaman, iaitu gaun chainmail klasik Versace yang pernah digemari ramai selebriti terkenal seperti Angelina Jolie, Britney Spears, Blake Lively dan Elizabeth Hurley. 

Sebahagian daripada gaun yang dipamerkan dalam kempen ini akan mula dijual musim hadapan, manakala selebihnya merupakan koleksi arkib dari era 1990-an dan awal 2000-an.

Penggemar fesyen lama mungkin masih ingat ketika Kate Moss dan Naomi Campbell mengenakan versi perak gaun chainmail untuk majlis Golden Globes pada tahun 1999. 

Gaun chainmail yang menjadi identiti Versace pernah digemari ramai selebriti terkenal. — Instagram/@versace

Pada tahun 2017 pula, sempena memperingati ulang tahun ke-20 kematian Gianni Versace, model seperti Cindy Crawford, Naomi Campbell, Helena Christensen, Carla Bruni dan Claudia Schiffer kembali ke pentas peragaan dalam persalinan gaun chainmail perak.

Jika anda terfikir untuk memiliki salah satu gaun ikonik ini, ketahuilah bahawa harga sehelai gaun mini chainmail moden boleh mencecah sekitar 3,000 pound sterling (kira-kira RM18,000). 

Namun begitu, versi asal dari era 90-an kini boleh dijual semula dengan harga setinggi 15,000 pound sterling (sekitar RM90,000) di laman-laman jualan barangan mewah terpakai.

Menerusi satu hantaran di Instagram Donatella yang memiliki lebih 12 juta pengikut, beliau menggambarkan dirinya berasa bertambah semangat apabila menyaksikan sesi penggambaran itu. 

Masa depan Donatella kini dilihat lebih terbuka selepas beliau menyerahkan jawatan kreatif. 

Donatella (kanan) bersama Miuccia Prada. — Instagram/@donatella_versace

Sejak abangnya Gianni Versace dibunuh secara tragik pada tahun 1997, Donatella menerajui rumah fesyen ini.

Namun pada Mac lalu, Versace telah dijual kepada Kumpulan Prada dalam satu urus niaga bernilai 1.375 bilion pound sterling (sekitar RM7 bilion). 

Perjanjian ini menyatukan dua nama besar dalam fesyen Itali, sekali gus mengukuhkan hubungan persahabatan Donatella dengan pereka terkenal, Miuccia Prada.

Selepas ini, Donatella akan terus berperanan sebagai duta jenama, namun tidak lagi menjadi pengarah kreatif.

Beliau akan menyaksikan perkembangan era baharu 'Versada' dari sisi dengan lebih luas meskipun bukan di bawah kuasanya. sepenuhnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram