HATI ibu mana tidak berat apabila terpaksa melepaskan anak yang telah didakap dan dijaga dengan penuh kasih sayang selama dua minggu.
Itulah dilalui oleh seorang ibu susuan, Asma Wahap yang baru-baru ini menyerahkan semula bayi asuhannya kepada keluarga kandung.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, suaminya, Sabri Mamat berkongsi detik menyentuh hati sewaktu menyerahkan bayi tersebut.
“Saya ni tak ada masalah sangat. Tapi ibu susuan nampak la murung sikit. Dua minggu bayi ni sentiasa dalam pelukannya,” tulis Sabri.
BACA LAGI: 'Seburuk-buruk manusia adalah dedah aib pasangan', pendakwah jelas erti amanah dalam rumah tangga
Menurut Sabri, bayi tersebut istimewa kerana dilahirkan dengan berat kurang daripada 1.5 kilogram yang menyebabkan memerlukan penjagaan rapi.
Walaupun ini anak susuan Asma yang kesembilan, namun bayi itu merupakan bayi paling lama disusukan oleh Asma.
“Saya boleh tengok la. Amanah ini dia berjaya pikul dengan baik. Tetapi nampak la muka sedih tu… Berkaca mata bila serahkan bayi ini tadi,” tambahnya.
Sebagai suami, Sabri menyatakan sokongan penuhnya terhadap usaha Asma dalam memainkan peranan membantu ibu lain melalui penyusuan susu ibu.
Menurutnya, tanggungjawab ini adalah satu amanah komuniti, selari dengan nilai yang diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW.
Ketika itu, ibu susuan seperti Halimah Sa’diyah memainkan peranan penting dalam membesarkan anak-anak.
Asma dalam komentar turut meluahkan betapa bermaknanya pengalaman menyusukan bayi sekecil itu.
“Betul-betul pengalaman berharga. Anak sehalus ni, tak pernah lagi sebelum ni… Cerdik betul anak ni, pagi tadi cerah mata tak kelip tengok mama baba… Dia tahu nak pisah dah,” tulisnya.
Beliau turut menekankan bahawa perjalanan menjadi ibu susuan bukan mudah dan menuntut dokumentasi serta kefahaman terhadap implikasi hukum terutama berkait isu nasab dan perkahwinan pada masa depan.
“Jadi ibu susuan ini, banyak benda kena perhalusi sebab ia melibatkan hukum nikah, kahwin anak-anak itu nanti, betul-betul kena dokumentasi… Rumit jugak la perjalanannya,” kata Asma.
Seorang pengguna, Sarrah Luna turut menitipkan pesanan agar setiap ibu susuan merekodkan nama anak susuan masing-masing untuk mengelakkan sebarang kekeliruan pada masa akan datang.
"Kena catit siapa anak susuannya, takut sudah besar terkahwin sesame adik-beradik," katanya.
Seorang lagi individu, Rossuzilawatey Hasein menyarankan agar pertemuan berkala antara keluarga anak susuan diadakan supaya anak-anak ini saling mengenali antara satu sama lain.
"Mesti seronok sebab rasa macam ahli keluarga yang besar," katanya.